Mohamad Hasan Gesa Benteras Total Kandungan Kreatif Anti Keharmonian

KUALA LUMPUR, 18 April – Video tular yang mengiklankan aktiviti perjudian berlatarbelakangkan suasana Ramadan dan Aidilfitri sangat menyinggung umat Islam di Malaysia, tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sehubungan itu katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) @skmm_mcmc mesti tampil segera menjelaskan bagaimana perkara ini boleh berlaku dan dibenarkan tular.

“Ia tidak sensitif dan sangat keterlaluan, lebih-lebih lagi pada bulan suci umat Islam,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Ujarnya, insiden kandungan kreatif yang tidak sensitif dan bersifat anti keharmonian kaum sudah kerap kali berlaku sedangkan SKMM mempunyai tanggungawab mencegah semua ini.

“SKMM wajar mengemukakan penjelasan bagaimana video tersebut boleh menjadi tular untuk beberapa ketika.

“Menyediakan garis panduan dan kod kandungan yang selari dengan budaya dan norma masyarakat Malaysia tidak lagi memadai. Malaysia memerlukan tindakan pencegahan efektif dan bukan tindakan reaktif.”

Katanya, pemberantasan segera dan secara total segala kandungan tidak bermoral di persada maya mesti menjadi keutamaan SKMM termasuk aktiviti judi secara online dan tidak dilesenkan.

“Jangan dibiarkan kemakmuran negara Malaysia menjadi taruhan akibat kegagalan kawalselia kandungan kreatif yang bersifat anti keharmonian kaum dan agama,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.