Kes Harian COVID-19 Mencanak Naik, Dari Mana Datangnya, Soal Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata laporan kes harian COVID-19 ketika ini dilihat mencanak-canak naiknya ibarat bedilan roket membelah angkasa.

Sehubungan itu beliau tertanya-tanya mengenai kebenaran dan kesahihan angka yang dilaporkan KKM?

“Dari mana datangnya data berkaitan statistik itu? Adakah data itu benar dan siapa yang mengesahkan angka kes itu benar? Benarkah atau tidak benar? Bukan apa rakyat begitu bimbang menyaksikan laporan harian COVID-19 yang meningkat secara tiba-tiba,” soalnya menerusi laman facebooknya berkaitan hal tersebut hari ini.

Katanya, Ramadan baru hari keenam maka jangan pula dikaitkan dengan bazar Ramadan atau terawih.

“Kita melihat kes sudah mencecah lebih 2,000 sehari. Adakah akan dibiarkan sehingga 5,000 hingga 6,000 kes sehari? Atau juga tiada kes tetapi diberitahu jumlahnya tinggi sekaligus menggusarkan orang ramai? Saya hanya bertanya dan tidak sesekali menuduh.

“Jika ia benar kerajaan wajar mengambil tindakan segera bagi menurunkan angka dan jika tidak benar perbuatan itu amat dikesali dan berdosa untuk seluruh rakyat.

“Al-maklumlah Aidilfitri akan tiba tidak lama lagi manakala Proklamasi Darurat hanya berbaki empat bulan. Mungkin juga akan dijadikan modal untuk memanjangkan tempoh darurat. Biasalah…”

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga pelik tiba-tiba sahaja Sarawak menjadi negeri yang mencatatkan kes harian tertinggi.

“Tiba-tiba sahaja. Mungkinkah rentas negeri dan kebenaran pulang berhari raya tidak dibenarkan di Sarawak. Simpati juga pada nasib guru di Sabah dan Sarawak.

“Bukankah mereka memiliki penerbangan pulang ke kampung halaman setahun sekali atau setahun dua kali. Bagaimana dengan itu? Harap mendapat keadilan buat mereka. Jika itu berlaku pastinya menjimatkan wang kerajaan dan tidak perlu lagi meminta wakaf daripada penjawat awam.

“Saya terlupa. Bonus untuk penjawat menjelang Aidilfitri belum diumumkan lagi. Adakah akan dikira sebagai wakaf juga?”

Apa-apa pun doa beliau moga rakyat Malaysia dipelihara kesihatan oleh Allah SWT dan patuh SOP.

“Jauhi diri daripada virus jahat dan amalkan gaya hidup sihat. Berpuasa adalah ibadah yang menjaga kesihatan,” katanya lagi. – UMNO Online