Apa Langkah Kerajaan PN Untuk Selamatkan Ekonomi Dan Rakyat? – Najib

KUALA LUMPUR, 18 April – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mempersoalkan apa langkah yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ambil sekarang untuk menyelamat ekonomi dan Rakyat?

Beliau bertanya demikian berikutan pada 11 Jan 2021, jumlah kes baru Covid sebanyak 2.232, jumlah kluster aktif 258 dan kadar kebolehjangkitan ialah 1.10.

“Masa itu, kerajaan PN isytihar darurat, laksana PKP2.0 separuh masak, gantung parlimen dan umum pakej rangsangan PEMERKASA bernilai RM20 bilion.

“Tiga bulan kemudian, jumlah kes baru lebih tinggi pada 2.551, jumlah kluster aktif meningkat ke 346, kadar kebolehjangkitan lebih tinggi pada 1.18, kerajaan mengaku tak banyak wang lagi dan harga makanan telah naik mencanak.

“Agaknya apa langkah yang kerajaan PN akan ambil sekarang untuk menyelamat ekonomi dan rakyat?” katanya yang juga Ahli Parlimen Pekan.

Terdahulu Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memaklumkan sudah tidak ada banyak wang kerana kerajaan telah membelanjakan banyak iaitu sebanyak RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat Covid-19.

Pada Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi baru yang digelar Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelbagai pakej rangsangan, iaitu Prihatin bernilai RM250 bilion, PKS Prihatin (RM10 bilion), Penjana (RM35 bilion), Kita Prihatin (RM10 bilion) dan Permai (RM15 bilion). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.