i-Sinar: ‘Elya’ Melukakan Hati Pencarum, Mengapa Sanggup ‘U-Turn’ – Zahid
KUALA LUMPUR, 8 Feb – Awal pagi ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengumuman penting agar menyemak kembali status permohonan i-Sinar masing-masing berikutan masalah teknikal.
Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan hal tersebut kepada Elya iaitu watak yang dicipta sebagai salah satu inisiatif daripada pihak KWSP bagi skim i-Sinar.
Soal beliau, kenapa Elya melukakan hati pencarum dan mengapa Elya sanggup melakukan U-Turn?
“Semalam, Elya menggembirakan pula pemohon i-Sinar bagi kategori 2. Namun, kegembiraan itu hanya bertahan beberapa jam.
“Sampai hati Elya. Ramai yang menaruh harap pada Elya,” katanya menerusi kenyatan dalam laman Facebooknya, hari ini.
Ujar Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), alasan yang diberikan Elya adalah masalah teknikal bagi paparan status permohonan kemudahan i-Sinar.
“Ia tidak patut berlaku tatkala ramai menaruh harapan. Elya tahu ramai pencarum berdepan kesukaran hiudp akibat pandemik Covid-19 dan PKP 2.0.
Elya jangan melakukan itu lagi pada masa hadapan. Jangan mudah permainkan hati dan perasaan. Elya jangan suka main silap mata.
Hari ini semak lulus, esok semak gagal. Dokumen dah serah. Apa lagi Elya mahu?”
Jelas beliau, dua bulan lalu nama Elya menjadi sebutan rakyat Malaysia malah begitu ramai memuji Elya walaupun Elya sekadar emoji kartun.
“Pujian terhadap Elya melambung tinggi. Nama Elya begitu gah di media sosial dan menggembirakan ramai orang.
“Elya memberi nafas baru dan melapangkan benak pencarum KWSP. Elya kata boleh keluarkan duit akaun 1 antara RM10,000 hingga RM60,000,” katanya lagi. – UMNO Online