Kesetiaan Dan Disiplin Jadi Kekuatan Perjuangan UMNO – Azalina

JOHOR BAHRU, 25 Jun – Kesetiaan kepada perjuangan dan disiplin parti merupakan asas utama yang perlu terus dipertahankan oleh setiap ahli UMNO, khususnya ketika berdepan proses pemilihan calon dalam mana-mana pilihan raya.

Demikian tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said dengan menekankan bahawa, suara tidak puas hati selepas penamaan calon merupakan perkara biasa dalam politik dan sering berlaku dalam mana-mana parti besar.

Menurut beliau, ukuran sebenar seorang pejuang bukan ketika namanya dipilih sebagai calon, sebaliknya apabila tidak diberikan peluang untuk bertanding.

“Di situlah kesetiaan diuji. Kesetiaan kepada parti bukan bermaksud taat membuta tuli, tetapi memahami bahawa perjuangan lebih besar daripada individu. Jawatan datang dan pergi, namun parti, prinsip dan amanah rakyat mesti kekal menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta kepimpinan UMNO negeri kerana berjaya mengurus proses pemilihan calon dengan tenang, tertib dan berani.

Jelasnya, keputusan memilih calon bukan sekadar memenuhi kehendak individu tertentu, tetapi mengambil kira kesesuaian seseorang untuk memikul amanah pada waktu dan medan yang diperlukan.

“Dalam politik, keberanian membuat keputusan sering lebih sukar daripada keberanian berucap di pentas,” ujarnya.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang turut menegaskan bahawa apa yang berlaku membuktikan UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin kerana parti itu sentiasa mempunyai pelapis, pemimpin akar umbi, tokoh muda serta tenaga baharu yang bersedia memikul tanggungjawab apabila diperlukan.

Katanya, kekuatan UMNO sebagai sebuah parti institusi terletak pada kesinambungan perjuangan, pengalaman serta proses melahirkan kepimpinan yang berterusan.
Beliau turut mengingatkan bahawa perbezaan pandangan, teguran dan rasa kecewa boleh diraikan dalam semangat demokrasi parti, namun apabila keputusan telah dibuat melalui saluran yang sah, semua pihak perlu kembali bergerak sebagai satu pasukan.

“Rakyat memerhati bukan sahaja apa yang kita janjikan, tetapi bagaimana kita bertindak ketika diuji,” katanya lagi.

Beliau juga menekankan bahawa kesetiaan dalam perjuangan politik bukan hanya kepada individu, sebaliknya kepada parti, prinsip perjuangan dan rakyat yang telah memberikan amanah.

“Tahniah kepada Onn Hafiz, UMNO Johor dan Barisan Nasional Johor. Semoga semangat kebersamaan dan kesatuan ini terus diperkukuhkan demi memastikan perjuangan parti dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO