Tuduhan ‘Dikawal’ Tidak Berasas, Jangan Heret Istana Johor Dalam Pertikaian Politik – Aznan
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Johor Aznan Tamin menyangkal tuduhan yang dilemparkan oleh Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai tidak berasas, berniat jahat dan sengaja diadakan-adakan demi kepentingan peribadi.
Tegasnya, sebagai salah seorang kepimpinan dalam pentadbiran negeri dan parti, beliau menyangkal sekeras-kerasnya tohmahan liar Puad yang turut disiarkan di media arus perdana dan atas talian kononnya UMNO Johor “dikawal oleh Istana” dan hilangnya kebebasan dalam membuat keputusan parti, di samping mengaitkan isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan campur tangan institusi Diraja.

“Berdasarkan pengalaman dan tanggungjawab saya sepanjang berkhidmat sebagai Exco Negeri Johor, saya kerap berurusan serta mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Saya menegaskan bahawa sepanjang tempoh tersebut, tidak pernah wujud sebarang bentuk tekanan, titah “luar biasa”, mahupun campur tangan daripada pihak Istana dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.
“Hakikatnya, institusi Diraja Johor sentiasa bertindak dalam ruang lingkup sistem Raja Berperlembagaan. Titah pandangan, buah fikiran, serta saranan yang dizahirkan oleh Tuanku sentiasa berpaksikan kepada kebajikan rakyat dan kemakmuran Negeri Johor. Menuduh keprihatinan tinggi baginda terhadap rakyat sebagai satu bentuk “kawalan” adalah satu manipulasi fakta yang berniat jahat serta menghina kedaulatan institusi Diraja,” katanya dalam satu kenyataan yang turut memaklumkan satu laporan polis telah dibuat secara rasmi di Balai Polis Bandar Penawar bagi menangani fitnah tersebut.
Tambah Aznan, Istana Johor adalah payung naungan seluruh rakyat merentasi fahaman politik, serta menjadi simbol kedaulatan negeri.
“Adalah amat tidak bertanggungjawab apabila institusi yang dihormati ini dijadikan perisai atau modal politik oleh individu tertentu semata-mata untuk meraih simpati atau menyelamatkan kerjaya politik sendiri. Tindakan seperti ini sewajarnya ditolak dan dikecam secara total,” kata Exco Pemuda UMNO Malaysia itu lagi.
Seterusnya, Aznan menjelaskan bahawa segala ketetapan dan hala tuju UMNO Johor adalah hasil musyawarah, muafakat, serta keputusan bersama seluruh kepimpinan mengikut lunas perlembagaan parti.
“Dakwaan bahawa kepimpinan negeri bertindak sebagai “boneka” merupakan satu penghinaan besar terhadap kesetiaan serta kerja keras seluruh jentera dan akar umbi di peringkat bawah.
“Memandangkan kita kini berada di ambang Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 (PRN-16), tumpuan penuh sepatutnya disasarkan untuk berkhidmat kepada masyarakat, bukannya mencetuskan polemik murahan yang menyentuh sensitiviti 3R (Agama, Bangsa, dan Raja). Saya menggesa pihak berkenaan untuk menghentikan serta-merta agenda mempolitikkan Istana Johor dan kembali fokus kepada mandat rakyat,” kata penyandang kerusi DUN Tanjung Surat itu..
Justeru ujarnya, beliau bersama-sama seluruh saf kepimpinan dan akar umbi UMNO serta Barisan Nasional (BN) Johor, berikrar akan terus berdiri teguh dan taat setia di belakang Tuanku, mempertahankan parti, dan memberikan khidmat terbaik demi kesejahteraan serta masa depan Negeri Johor. – UMNO ONLINE
