Najib Hargai Kepercayaan BN, Tekad Pertahan DUN Parit Yaani
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Najib Samuri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk sekali lagi mempertahankan kerusi N21 DUN Parit Yaani pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, amanah yang diberikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merupakan satu tanggungjawab besar yang akan digalas dengan penuh komitmen demi memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat di DUN Parit Yaani terus menjadi keutamaan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kepimpinan parti atas kepercayaan yang diberikan kepada saya sekali lagi sebagai calon bagi mempertahankan N21 DUN Parit Yaani.
“Kepercayaan ini adalah satu amanah besar yang akan saya laksanakan dengan sebaik mungkin demi masyarakat dan kesejahteraan seluruh warga Parit Yaani,” katanya.
Dalam masa sama, Najib turut memohon sokongan, doa dan dukungan daripada seluruh pengundi di DUN Parit Yaani agar terus memberikan kepercayaan kepadanya untuk meneruskan khidmat bakti kepada rakyat.
Menurut beliau, sokongan berterusan daripada masyarakat amat penting bagi memastikan segala agenda pembangunan dan kebajikan dapat diteruskan demi kemajuan kawasan berkenaan.
Beliau berkata, semangat perpaduan, kebersamaan dan nilai Bangsa Johor perlu terus diperkukuhkan bagi membina masa depan yang lebih baik untuk semua lapisan masyarakat.
Pada masa yang sama, Najib turut menyeru seluruh jentera pilihan raya serta penyokong daripada semua parti politik supaya menjalankan kempen secara berhemah, matang dan saling menghormati.
Katanya, budaya politik yang sihat dan beretika penting bagi memastikan keharmonian yang sekian lama dinikmati masyarakat di DUN Parit Yaani terus dipelihara sepanjang tempoh berkempen.
“Marilah kita bersama-sama memastikan proses demokrasi berlangsung dalam suasana aman, harmoni dan penuh rasa hormat demi kepentingan rakyat serta masa depan negeri Johor,” katanya.- UMNO Online
