PRN Johor: Prestasi dan Kepimpinan Jadi Ukuran, Kata Norliza
JOHOR BAHRU, 25 Jun – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menegaskan bahawa tumpuan utama selepas pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan lagi mengenai siapa yang dipilih, sebaliknya bagaimana mereka membuktikan kelayakan untuk mewakili rakyat.
Menurut beliau, setiap calon perlu menunjukkan bahawa pemilihan mereka dibuat berdasarkan kemampuan, idea serta kualiti kepimpinan yang dimiliki, bukannya sekadar memenuhi kuota atau pertimbangan simbolik.

“Apa yang lebih penting sekarang bukan sekadar siapa yang dipilih, tetapi bagaimana calon-calon ini mampu membuktikan bahawa mereka dipilih kerana kemampuan, idea dan kepimpinan, bukan sekadar memenuhi angka atau simbolik semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman senarai calon BN bagi PRN Johor yang menyaksikan gabungan penyandang dan muka baharu, termasuk penyertaan 10 calon wanita.
Norliza berkata, landskap politik semasa menunjukkan bahawa pengundi semakin matang dalam membuat penilaian dan tidak lagi melihat faktor jantina sebagai ukuran utama dalam memilih pemimpin.
Sebaliknya, katanya, rakyat lebih menitikberatkan prestasi, kredibiliti serta keupayaan seseorang calon untuk membawa suara masyarakat dan menyelesaikan isu-isu setempat.
“Rakyat hari ini menilai berdasarkan prestasi, bukan jantina. Sebab itu setiap calon yang diberi kepercayaan perlu membuktikan mereka mampu memikul amanah dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa calon-calon Wanita dan Puteri BN mempunyai potensi untuk membuktikan kemampuan mereka serta menjadi antara aset penting parti dalam menghadapi cabaran politik pada masa akan datang.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua calon BN yang dipilih dan berharap mereka dapat memanfaatkan peluang tersebut dengan menunjukkan komitmen, integriti serta kepimpinan yang berkesan sepanjang kempen dan sekiranya diberi mandat oleh rakyat. – UMNO Online
