Belanjawan Dan Etika Parti – Shahril Hamdan

RANG Undang-undang (RUU) Belanjawan 2021 selesai. Alhamdulillah, arahan Presiden UMNO ditaati oleh hampir semua Ahli Parlimen UMNO.

Meskipun ada perkara yang UMNO mahu ditambahbaik, akhirnya keputusan parti dibuat dan dilaksana. Ada yang setuju, ada yang kecewa.

Rasional UMNO menyokong Belanjawan tentunya ada kaitan dengan menjunjung titah Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan dibuat setelah meneliti baik buruk sebarang keputusan terhadap kebajikan rakyat amnya.

Insya-Allah, ada pendekatan dan strategi UMNO lagi selepas ini untuk memastikan perjuangannya untuk rakyat terbela.

Sebagai orang muda dalam parti, sudah tentu saya hormat orang lama. Tetapi saya benar-benar tidak faham apa keperluan seorang Ahli Parlimen UMNO yang senior, berpengaruh dan bertaraf Penasihat – tanpa segan silu buat sidang media bersama pembangkang. Kesannya bukan kecil.

1. Kelirukan orang di bawah apa sebenarnya “stand” UMNO.

2. Tak menghormati disiplin parti yang memutuskan untuk sokong Belanjawan.

3. Tak menghormati disiplin parti dengan melaksana sidang media politik bersama pemimpin besar parti lawan.

Bayangkan jikalau orang lain buat perkara sama semalam – apa reaksi?

Atau bayangkan selepas ini ada Ahli Parlimen UMNO atau mana-mana pemimpin UMNO buat gerakan terbuka, panggil media, dengan parti lawan, tanpa izin Presiden atau Majlis Kerja Tertinggi? Adakah ia tauladan yang baik? Adakah ia menjernihkan keadaan dalam parti? Sudah tentu tidak.

Semalam, ada seorang lagi ahli politik lain yang komen mengatakan bahawa di Malaysia, orang muda kurang diiktiraf. Bagi saya dalam kes ini, walaupun dua figura yang menganjurkan sidang media tersebut kebetulan orang lama, ini bukan soal iktiraf atau tidak iktiraf generasi muda.

Sebaliknya, ini soal contoh yang ditunjukkan orang lama kepada orang muda, termasuk dalam UMNO itu sendiri.

Soal setuju dan tidak setuju sesuatu dasar atau pendekatan adalah lumrah dalam mana-mana organisasi. Boleh suarakan pandangan pada saluran sebetulnya. Jika mahu suarakan terbuka di media sekali-sekala pun barangkali boleh diterima.

Ahli politik mana yang tak kadang-kala sedikit “nakal”? Ahli politik mana yang tidak ada pendirian tertentu? Itu perkara biasa dan mewarnai pentas politik mana-mana negara dan parti.

Tetapi apabila terang-terang mengumum dan mengajak ke arah sesuatu tindakan dasar tanpa izin parti; bertentangan dengan parti – itu cerita lain. Ini bukan lagi sekadar spekulasi atau cakap-cakap belakang ditambah gula, garam secukup rasa sehingga kesahihan diragui. Ini tindakan politik terbuka di khalayak ramai.

Bagi saya, ia tidak boleh di”biasa”kan, di”budaya”kan atau menjadi “normal baharu” politik UMNO. Sebab itu saya suarakan perkara ini – supaya insiden semalam tidak berlalu seolah tiada apa-apa luar kelaziman yang berlaku. Ia mesti dihentikan.

Dalam pada UMNO hendak merencana langkah seterusnya, disiplin dan keutuhan parti hendaklah dihargai. Ramai yang menegur kami barisan kepimpinan untuk kurangkan kenyataan bercanggah antara satu sama lain. Saya menginsafi teguran tersebut.

Barangkali Penasihat yang jauh lebih luas pengalaman dan kebijaksanaan beliau berbanding saya juga tidak terlepas dari kekhilafan. – UMNO ONLINE

Shahril Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia
Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.