Belanjawan 2021: Yang Suka, Yang “OK”, Yang Kurang Suka – Shahril

PANDANGAN saya mengenai Belanjawan 2021 setelah beberapa ketika memproses dan menghadam. Tidak lengkap, Cuma “highlight” sahaja supaya tidak terlalu panjang.

Preview: Pengumuman yang paling menarik perhatian – JanaKerja

—–

SUKA

1. Saiz belanjawan: RM322.5 bilion.

Terbesar dalam sejarah Malaysia. Mencerminkan keperluan untuk Kerajaan mengembangkan ekonomi, serta kesediaan menerima defisit yang lebih tinggi. Tak bermaksud semua belanja secara automatiknya baik, tetapi secara kasar, penambahan belanja itu bagus.

2. “Transfer payments” atau peralihan (bantuan) tunai dari Kerajaan ke rakyat.

Ditingkatkan dari RM5 bilion ke RM6.5 bilion. Lebih mencerminkan pendekatan BN dahulu yang memulakan konsep peralihan tunai ini melalui BR1M, bantuan musim tengkujuh, bantuan elaun petani, elaun nelayan, elaun imam, dan sebagainya.

Perinciannya boleh disemak sendiri dan seperti biasa, pelaksanaan akan menjadi cabaran sebenar. Tetapi asasnya, jumlah bantuan tunai kembali meningkat berbanding Belanjawan terdahulu. Bagus.

3. (yang kurang mendapat perhatian tetapi amat mustahak) MySTEP dan JanaKerja.

Isu asas ekonomi rakyat adalah kerja dan pendapatan. Dalam mana-mana ekonomi dan untuk mana-mana individu, tiada pengganti yang mampu menandingi situasi di mana ekonomi kita banyak pekerjaan dengan pendapatan tinggi. Itu juga aspirasi BN dahulu – ada projek untuk meningkatkan peluang pendapatan, ada aspirasi untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, tetapi di samping itu ada BR1M dan lain-lain.

Dalam hal ini, Belanjawan 2021 ada MySTEP (50 ribu kerja kontrak jangka pendek) termasuk guru sementara, jururawat, pegawai kebajikan masyarakat dan kerja di GLC. Ini bukanlah Job Bank yang saya harapkan secara total, tetapi sekurang-kurangnya ada kesediaan untuk Kerajaan menyediakan pekerjaan dan bukan hanya memberi insentif kepada swasta untuk ambil pekerja.

JanaKerja pula, MEMBERI SINAR HARAPAN yang lebih cerah. 500 ribu peluang pekerjaan termasuk peningkatan kemahiran dan latihan semula. RM3.7 bilion. Kalau congak, nilainya lebih kurang RM7 ribu seorang.

Saya belum pasti, adakah 3.7 bilion ini termasuk gaji yang dibayar oleh Kerajaan? Barangkali ya. Belum juga jelas kerja apa yang akan ditawarkan. Adakah dalam sektor-sektor tenaga hijau dan kemasyarakatan yang membawa kesejahteraan dan kualiti hidup komuniti? Belum juga jelas adakah skim latihan ini mesti disekalikan dengan peluang pekerjaan dan bukan hanya latihan kemudian kembali terdedah kepada pasaran kerja yang malap? Barangkali ya mesti disekalikan dengan tawaran kerja.

Jika benar andaian saya, ini mungkin bibit permulaan pembudayaan baharu di mana Kerajaan menjadi peserta aktif dalam pasaran kerja mengisi kelompongan sektor swasta dan bergerak ke aspirasi pengangguran sifar – suatu pembudayaan yang amat dialu-alukan. Setiap Belanjawan selepas ini wajar ada penambahan dan penambahbaikan kerana impian saya mahu RM20-30 bilion untuk skim ini, bukan 3.7 sahaja 🙂

Apapun, JanaKerja wajar menjadi antara fokus utama pelaksanaan Belanjawan 2021. Daripada 300+ bilion Bajet, RM3.7 bilion dan pendapatan untuk 500 ribu orang inilah boleh menjadi penentu sama ada Belanjawan berjaya atau tidak berjaya.

4. Subsidi upah.

Semua dah sedia maklum konsep ini yang saya mula tekankan pada bulan Mac. Wajar diteruskan di samping usaha lain menambah dan mempertahankan peluang pekerjaan yang ada.

—–

“OK”

1. Majlis Pekerjaan Negara.

Belum jelas apa skop Majlis ini. Jika ia bertindak aktif dan memfokus kepada perincian pelaksanaan MySTEP, JanaKerja yang fleksibel dan dinamik, OK. Jika ia ada KPI bulanan mengurangkan pengangguran, OK.

Jika hanya untuk hebah “kita ada Majlis Kerja”, tanpa KPI, tak OK. Kita beri sedikit masa dan husnuzon.

2. Pengeluaran Akaun 1 KWSP.

OK, tetapi sepertimana yang pernah saya sebut sebelum ini, lebih afdal Kerajaan yang beri duit dan bukan rakyat merisikokan simpanan sendiri.

Ya, dari segi moralnya ini “duit kita”. Jadi terpulang kepada masing-masing apa yang terbaik – dan Kerajaan telah membenarkan pengeluaran walaupun berbentuk bulanan dan hanya RM500 sebulan.

Cuma yang merisaukan, tempoh hari saya bertanya berapa sebenarnya simpanan Akaun 1 KWSP untuk rakyat yang memerlukan. Hari ini kita dikejutkan dengan berita bahawa 32% pencarum ada kurang RM1,000 dan 10% ada RM1,000- RM5,000 (bermakna hampir separuh tak sampai RM5 ribu pun).

Betapa rendahnya gaji kita selama ini, dan betapa ramai pencarum yang masuk keluar kerja (menganggur bersiri) sehingga begitu ramai yang tiada jumlah signifikan pun untuk bantuan sekarang apatah lagi persaraan.

Rumusan? Rasanya kalian dah tahu: Fokus pekerjaan dan gaji.

3. Bajet Kesihatan.

Ada pihak yang cuba menggambarkan belanja untuk kesihatan dipotong. Baca posting FB Menteri Kewangan untuk dapatkan gambaran sebenar – hakikatnya tiada pemotongan.

Saya bukan pakar dalam perincian apa yang diperlukan KKM jadi tiada keyakinan tinggi untuk mengulas, tetapi bagi saya alhamdulillah tiada pemotongan. Cuma, ada harapan untuk perbelanjaan kesihatan mental ditingkatkan lebih besar – apatah lagi dengan segala cabaran sosial dan ekonomi yang dihadapi sekarang.

—–

“KURANG MEMUASKAN”

1. Teknologi Hijau.

Kemelesetan ekonomi sedunia hari ini membuka peluang untuk penstrukturan semula.

Sebagai pelengkap kepada Job Bank atau jaminan kerja, Malaysia wajar membuka lembaran baharu dalam teknologi hijau bagi mewujudkan peluang pekerjaan di samping menyumbang kepada penyelesaian masalah krisis iklim.

Tidak nampak pengisian yang signifikan dalam Belanjawan kali ini selain membantu Sarawak dalam program bas awamnya menggunakan hydrogen fuel cells.

2. Mahasiswa.

Pihak universiti telah memperkenal sistem pembelajaran atas talian sejak pembukaan semester baharu. Kerajaan tidak mengumumkan langkah-langkah membantu mahasiswa seperti untuk komputer riba untuk membeli peranti elektronik atau bantuan lain seperti kad Prihatin Siswa, misalnya. Wajar disemak semula.

3. JASA

Bajet lebih RM80 juta menjadi pertikaian ramai pihak. Sukar untuk menjustifikasikannya. Penerangan dan komunikasi kepada rakyat berteraskan program dan libat urus komuniti sememangnya ada fungsi terutamanya di luar bandar. Ramai pegawai JASA sebelum ini melaksanakan tugasan itu sebelum diberhentikan dengan begitu mendadak. Tetapi jumlah 80 juta itu tampak jauh terlalu besar dan ada hujah mengapa tidak diperkasa sahaja atau ditambah pegawai untuk Jabatan Penerangan.

Tambahan lagi, jika ada yang kata ia untuk melaksanakan kerja-kerja politik kepartian, tak boleh guna duit Kerajaan. Tiada rakyat atas pagar boleh terima perkara ini. Ini hakikat zaman sekarang di mana menjuarai prinsip demokrasi dan ketelusan adalah kewajipan.

—-

Tiada yang sempurna. Pelaksanaan menjadi medan ujian. Moga segala maklum balas dari segenap pihak dikaji oleh Kerajaan dan sebarang pindaan dilaksanakan agar matlamat utama kita fasa ini yakni memanggil gencatan politik, melulus Belanjawan di samping kita menjunjung titah SPB YDPA, semuanya tercapai demi rakyat. – UMNO ONLINE

Shahril Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.