Bajet Selangor 2021 Sepatutnya Tumpu Kepada Bantuan COVID-19…

SAYA telah meneliti Bajet Selangor 2021 bersama ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) BN (Barisan Nasional) kelmarin.

Setelah menelaah setiap mukasurat ucapan bajet MB (Menteri Besar) Selangor tersebut, apa yang jelas ialah Bajet Selangor 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Besar Selangor pada Jumaat lepas bukanlah Bajet untuk membantu rakyat mengharungi krisis COVID-19.

Malah Bajet Selangor 2021 ini adalah lebih kurang sama sahaja dengan Bajet Selangor seperti tahun lepas dari segi jumlah perbelanjaan, kutipan cukai dan apa yang dibelanjakan dengan hanya sedikit perubahan.

Dalam Bajet ini, tidak ada banyak (atau tiada langsung) dibincang tentang bantuan rakyat dalam menghadapi kesempitan hidup semasa krisis COVID-19 ini.

Ia seolah Bajet 2021 Selangor ini dibuat secara malas oleh MB Selangor yang hanya “cut-and-paste” dan ubah sedikit dari tahun lalu tanpa mengambil kira situasi pada tahun ini dan tahun hadapan yang berbeza iaitu dengan masalah ekonomi rakyat akibat krisis COVID-19.

……..

Tahun lepas kerajaan negeri telah memperuntukkan RM240 juta untuk program bekalan air negeri Selangor.

Namun selepas lebih RM200 juta ini dibelanjakan, masalah air di Selangor masih lagi kerap berlaku tahun ini.

Tahun ini untuk Bajet 2021, jumlah yang seakan sama iaitu RM200 juta lagi diperuntukkan untuk program bekalan air, namun penyelesaian masalah air di Selangor masih tidak nampak penghujungnya.

Tahun lepas kerajaan negeri telah memperuntukkan setengah juta ringgit untuk program rakan sungai, namun sungai masih tercemar.

Tahun ini satu juta ringgit diperuntukkan, namun di manakah impak peruntukan berjuta ringgit ini bila pencemaran sungai semakin berleluasa.

Pada tahun lepas kerajaan negeri telah memperuntukkan bajet untuk pemasangan 5,000 CCTV di Selangor.

Tahun ini bajet diperuntukkan untuk program digitalisasi Selangor pula.

Apa telah jadi kepada pemasangan 5,000 CCTV ini dan berapakah jumlah kontrak yang dibelanjakan? Dan syarikat atau vendor mana yang dapat kontrak ini?

Mungkin lebih baik kerajaan negeri pasang sebahagian daripada 5,000 CCTV tersebut di kawasan hot spot sungai untuk mencegah pencemaran.

……..

Berjuta-juta ringgit juga diperuntukkan untuk projek-projek seperti pembinaan atau ubahsuai stadium, expo kapal terbang dan sebagainya.

Di kala krisis COVID ini, projek-projek dan program-program ini sepatutnya boleh ditangguhkan dahulu dan peruntukan-peruntukan ini boleh digantikan dengan bantuan terus kepada rakyat.

Contohnya, daripada belanja RM2 juta ringgit untuk expo kapal terbang di Selangor, mungkin lebih baik jumlah ini kini digunakan untuk menaikkan elaun pegawai-pegawai masjid seperti bilal dan siak yang tidak seberapa kepada RM250-RM300 sebulan melalui Lembaga Zakat Selangor.

…….

Selangor merupakan negeri yang paling banyak cukai dikenakan di Malaysia.

Rakyat Selangor membayar cukai negeri yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Dalam tempoh 12 tahun kerajaan PH/PKR memerintah Selangor kutipan cukai berkaitan hartanah telah naik 300 peratus dan sebanyak lebih 90 cukai perniagaan baru telah diperkenalkan.

Untuk mengurangkan beban kewangan rakyat pada ketika krisis COVID ini, adalah lebih baik jika kerajaan negeri mengambil langkah pengecualian cukai atau moratorium ke atas cukai-cukai tanah dan cukai pintu untuk aset-aset rakyat yang bukan aset mewah.

Pengecualian atau moratorium lesen perniagaan juga boleh dibuat ke atas peniaga-peniaga kecil dan tapak-tapak pasar malam untuk membantu rakyat berniaga.

Dan ketika krisis ini, pihak-pihak berkuasa tempatan boleh memberikan kelonggaran ke atas peniaga-peniaga kecil yang mahu berniaga untuk mencari rezeki i.e. (contohnya) buat sementara waktu ini janganlah diroboh gerai-gerai burger atau nasi lemak dan gerai kuih yang mana peniaga-peniaga ini yang di antara mereka baru kehilangan pekerjaan dan ingin mencuba berniaga kecil-kecilan untuk mencari sesuap nasi di kala kesempitan ekonomi kini.

Dan sewa-sewa rumah PPR (projek perumahan rakyat) di Selangor untuk rakyat miskin dan sederhana mungkin boleh diberikan moratorium juga pada ketika ini untuk membantu meringankan beban sara hidup mereka pada ketika ini.

Moratorium atau pengecualian cukai, lesen dan sewa ini tentunya akan mengambil lebih RM500 juta dari pendapatan kerajaan negeri.

Namun pada ketika krisis ini, kerajaan negeri boleh menggunakan rizab tunai kerajaan yang berjumlah RM2 billion untuk menampung pengecualian atau moratorium cukai, lesen dan sewa untuk rakyat Selangor kini.

Kebanyakan daripada rizab ini datangnya dari sumbangan kerajaan Persekutuan BN setiap tahun dahulu melalui dana pembaikan jalan (MARRIS) sebanyak beratus juta setahun kepada kerajaan negeri yang tidak digunakan sepenuhnya.

Bila lagi hendak digunakan rizab ini jika tidak di masa krisis seperti kini?

…….

Saya lihat kebanyakan daripada Bajet Selangor 2021 adalah untuk perbelanjaan projek dan program oleh kerajaan dan hanya segelintir sehaja diperuntukan untuk bantuan terus kepada rakyat.

Pada ketika krisis ekonomi dan COVID-19 ini, ini tidak sepatutnya.

Sepatutnya kerajaan menumpukan perbelanjaan kepada bantuan terus kepada rakyat dan bukan fokus kepada projek-projek jangkamasa panjang yang hanya menguntungkan beberapa pihak.

ISHAM JALIL
3 November 2020