“Job Bank” Untuk Reset Dan Revolusi Ekonomi

Ramai yang memberi cadangan untuk Belanjawan 2021.

Bagi saya, masih banyak idea bersifat “short term”. Tindakan jangka pendek memang ada meritnya – untuk melegakan kesakitan rakyat buat sementara waktu.

Tetapi seperti mengubati sakit, kita perlu melihat puncanya sendiri lantas mencari penawar disamping ubat tahan sakit jangka pendek “Panadol” atau “plaster” yang berfungsi hanya untuk beberapa ketika.

Antara penyakit asas ekonomi sekarang adalah pekerjaan (yakni pengangguran).

800 ribu menganggur. 300-500 ribu lagi anak muda yang tamat pengajian bakal memasuki pasaran pekerjaan dalam masa terdekat.

Apa yang boleh dilaksana?

Program subsidi upah yang saya cadangkan pada Mac tempoh hari wajar dilanjutkan. Alhamdulillah, dilaporkan itu antara pengisian Memorandum dari Pemuda UMNO Malaysia. Semoga mendapat perhatian Kerajaan.

Tetapi disaat aktiviti ekonomi masih meleset dan majikan lebih sanggup memberhentikan pekerja daripada membayar gaji walaupun disubsidi, apa yang boleh dibuat?

Potongan cukai? Syarikat masih sanggup berhentikan pekerja. Banyak syarikat tiada untung pun untuk hendak bayar cukai.

Insentif untuk ambil pekerja? Syarikat masih sanggup tak ambil pekerja baru langsung.

Insentif untuk pelaburan? Pelaburan satu dunia menurun. Banyak syarikat dalam “survival mode”, bukan “expansion mode”. Dan bila mahu “expansion” pun, ia tidak akan berlaku sekelip mata.

Sekali lagi saya ingin mencadangkan skim jaminan pekerjaan atau Federal Job Guarantee Scheme/Job Bank.

Yakni, Kerajaan membelanjakan sejumlah kewangan untuk mengambil lebihan bekalan buruh (idle labour supply) dan menggajikan mereka untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti membina model ekonomi dan masyarakat yang kita mahukan.

Contoh?
1. Infra. Berapa banyak sekolah yang perlu baikpulih asas untuk menceriakan persekitaran pembelajaran? Kerja baik pulih sekolah-sekolah dan taman-taman permainan di serata negara.

2. Kasih dan teman. Mengapa hanya pesakit T20 mampu bayar untuk jururawat swasta manakala B40 terpaksa bergantung kepada ahli keluarga yang mungkin terpaksa berhenti kerja? Berapa kali kami orang UMNO dan pengamal politik nampak perkara ini depan mata kita di PRK atau di kawasan masing-masing? Kerajaan latih dan sediakan tenaga buruh untuk menjaga golongan sakit dan tua di rumah masing-masing.

3. Alam sekitar. NGO-NGO perlu lebih banyak tenaga kerja untuk pembersihan pantai? Kerajaan sediakan “individu-individu” tersebut.

4. Digitalisasi. Berapa banyak perpustakaan hatta agensi Kerajaan di negara ini yang masih menggunakan sistem pemfailan manual? Bayangkan dengan tenaga kerja untuk mendigitalisasi dokumen-dokumen tertentu – baik dari segi indexing mahupun mendigitalisasi peta (contoh ini saya cilok dari buku The Deficit Myth yang wajar dibaca semua).

5. Penterjemahan. Berapa banyak karya dan ilmu yang wajar diterjemahkan kepada Bahasa Kebangsaan? Berapa banyak karya dan ilmu yang wajar diterjemahkan daripada Bahasa Kebangsaan kepada Bahasa Inggeris supaya mendapat capaian lebih luas? Berapa ramai pakar penterjemah di Institut Penterjemah dan Buku Malaysia (ITBM) yang kerjanya akan dipermudah dan dipercepat andai mendapat draf kasar dari saya atau anda?

6. Pendidikan. Mungkin tiada keperluan mendesak menambah guru. Tetapi berapa kali kita dengar keluhan tenaga pengajar bahawa mereka dibebani tugasan kertas kerja atau “administrative tasks”? Kerajaan sediakan tenaga kerja pembantu guru di seluruh negara.

7. Kesihatan mental. Isu ini sering tidak mendapat perhatian mungkin kerana budaya kita, tetapi statistic menunjukkan masalah kemurungan, keseorangan dan pelbagai cabaran psikologi lain semakin menular di dalam sistem kapitalisme moden. Ada NGO yang membantu seperti Befrienders dan sebagainya – saya yakin mereka tidak akan menolak tambahan tenaga kerja terlatih dan bergaji untuk membina rangkaian yang lebih luas seandainya kadang-kala ada orang yang hanya mahu seseorang mendengar masalahnya tanpa diadili.

Contoh-contoh ini belum termasuk yang lebih “berkelayakan” seperti tenaga kerja menyumbang kepada kepakaran teknologi hijau dan sebagainya.

Contoh diatas hanya segelintir dari contoh aktiviti ekonomi yang mudah, tidak memerlukan kepakaran mendalam (melainkan mungkin latihan asas) dan berunsur kemasyarakatan atau “social good” bukan bermotifkan keuntungan swasta atau “private good”.

Maka ia juga contoh-contoh aktiviti ekonomi yang lazimnya tidak akan terlaksana melalui kebergantungan kepada sektor swasta. Tiada syarikat yang akan secara relanya membelanjakan untuk bersihkan pantai atau mendigitalisasi buku kecuali jika diberi kontrak oleh Kerajaan – “pasaran” swasta tidak akan membeli aktiviti ekonomi yang berunsur “social good” ini.

Saya atau anda tidak akan bayar untuk tenaga pembantu guru atau penterjemah buku orang lain yang tiada kena mengena dengan kita. Saya yakin anda yang membaca pun boleh memikirkan contoh lain.

Jadi, adakah kita hendak terus dengan situasi sekarang, atau kita mahu menyelam sambil minum air: selesaikan pengangguran disamping membina masyarakat yang lebih murni, moden, hijau, penyayang?

Mantranya: sesiapa yang mahu kerja, akan dapat tawaran kerja. Mungkin sesuatu kerja itu untuk beberapa minggu atau bulan, kemudian ditawarkan kerja lain. Mungkin kerja itu tidak “glamour” tetapi tidak juga “merbahaya”. Mungkin kemahiran kerja itu tidak yang dipelajari di universiti, tetapi zaman sudah berubah dan tiada ruginya membina kemahiran lain untuk kemandirian yang syumul.

Tambahan lagi, lebih mudah mendapat kerja “glamour” swasta tersebut kelak jika dalam “CV” ada pengalaman kerja dan bukan sebaliknya kelompongan menganggur (majikan lebih rela mengambil pekerja yang tidak menganggur terlalu lama).

Bila pasaran kerja swasta telah pulih, maka sesiapa sahaja boleh cuba melaksana transisi kepada pekerjaan yang mereka mahukan.

Itulah idea “job bank” yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan negeri dan badan-badan bukan Kerajaan yang juga boleh mengelolakan.

Dari manakah Kerajaan hendak dapatkan duit untuk belanja? Saya akan kongsi dalam posting seterusnya.

Berapa anggaran kos? Bayangkan jika secara purata, tenaga kerja di bawah skim ini dibayar RM1,500 sebulan. Andaikan maksimum 1 juta orang mengambil skim ini. RM 1.5 bilion sebulan = RM 18 bilion setahun.

Ya, banyak, tetapi tidaklah terlalu besar sehingga di luar imaginasi dan kreativiti Kerajaan. Jika boleh belanja berbilion untuk perkara lain, mengapa tidak untuk satu revolusi pasaran kerja yang menangani beberapa masalah dengan “direct” bukan secara segan-segan dan tidak langsung?

Tambahan lagi, pengangguran bukan “percuma” untuk Kerajaan. Tetap ada kos. Baik dari segi perbelanjaan tunai dan kebajikan oleh agensi-agensi Kerajaan atau dari segi kos sosial tidak langsung yang mungkin lebih besar dari RM18 bilion.

Berapa orang murung, berapa bunuh diri, berapa perceraian, berapa keluarga musnah dan berapa banyak kes jenayah yang berpunca dari pengangguran serta tekanan pendapatan?

Saya mengharapkan dalam Belanjawan 2021 ada inisiatif seperti ini. Covid-19 telah memusnahkan banyak andaian ekonomi kita. Selagi sektor swasta menghadapi kesusahan demi kesusahan, janganlah kita terus terikat kepada ideologi pasaran kapitalisme bebas. Pada saat inilah sektor awam perlu melindungi keadaan ekonomi.

Jika Kerajaan seperti Amerika Syarikat, UK, dan Eropah yang antaranya mempunyai tradisi kapitalisme jauh lebih lama dan mendalam dari Malaysia pun boleh berbelanja berbilion malah trilion, saya yakin kita mempunyai kebolehan serupa.

Jangan plaster sahaja. Revolusikan ekonomi Malaysia.

Oleh: SHAHRIL SUFIAN HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.