Majlis Perkahwinan Di Kawasan PKPB Dibenar, Namun Perlu Patuh SOP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan majlis perkahwinan diteruskan di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kawasan terlibat adalah Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu di Sabah yang kini dilanjutkan tempoh PKPB berkuat kuasa 13 hingga 26 Okt ini.

Beliau, bagaimanapun berkata selain pematuhan SOP, setiap majlis perkahwinan di kawasan kampung atau taman perumahan di kawasan berkenaan perlu di bawah pengawasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) manakala di hotel, di bawah pengawasan pihak pengurusan hotel.

“Penganjuran majlis perkahwinan yang kurang daripada 100 jemputan memerlukan pengawasan dua anggota RELA, 100 hingga 300 jemputan (tiga anggota RELA) dan 300 hingga 500 jemputan (empat anggota RELA).

“Sekiranya melebihi 500 jemputan, maka jumlah anggota RELA akan ditetapkan jabatan itu mengikut jumlah kehadiran dan ruang kawasan penganjuran majlis,” katanya pada sidang media secara maya dari kediamannya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

Memperincikan perkara itu, Ismail Sabri berkata jemputan dari luar kawasan PKPB perlu menunjukkan kad jemputan majlis perkahwinan yang ingin dihadiri ketika melalui sekatan jalan raya yang diadakan di kawasan terbabit.

Mengenai operasi sekolah, beliau berkata sebarang keputusan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM).

“Kerajaan terima pelbagai pandangan daripada rakyat mengenai operasi sekolah, saya percaya KPM akan umum mengenai perkara ini,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.