Onn Hafiz Umum Tiga Kategori Baharu BKJ Fasa 7
KUALA LUMPUR, 28 Nov – Kerajaan Negeri Johor mengumumkan tiga kategori baharu Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 7 sebagai usaha memperluas bantuan kepada rakyat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif berkenaan bertujuan meringankan beban kos sara hidup Bangsa Johor menerusi penambahan bantuan serta peruntukan bagi program kebajikan.
“Syukur Alhamdulillah, menerusi ucapan penggulungan Belanjawan Johor 2027 dalam Persidangan Dewan Negeri Johor, saya telah mengumumkan beberapa tekad tambahan.
“… melibatkan tiga kategori baharu Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 7 serta peruntukan tambahan bagi pelaksanaan Jualan Kasih Johor, sebagai usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam meringankan beban kos sara hidup Bangsa Johor,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau ia diputuskan mengambil kira pandangan dan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri, maklum balas rakyat serta kemampuan kewangan negeri,
Katanya BKJ Fasa 7 akan dilaksanakan bermula Jun 2027, melibatkan kategori berikut:
1. BKJ Warga Emas: RM200 seorang, yag akan memanfaatkan lebih 400,000 penerima dengan peruntukan RM83 juta.
2. BKJ Pesakit Kanser dan Dialisis: RM200 seorang, yang akan memanfaatkan lebih 14,000 penerima dengan peruntukan RM2.9 juta.
3. BKJ Pekebun Kecil B40: RM200 seorang, yang akan memanfaatkan lebih 21,000 penerima dengan peruntukan RM4.3 juta.
Dalam pada itu Onn Hafiz memaklumkan Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM6 juta bagi pelaksanaan Jualan Kasih Johor pada Disember ini yang bakal memanfaatkan 173,000 Bangsa Johor.
“Insya-Allah, semoga setiap rezeki yang dikurniakan kepada negeri ini akan terus kita manfaatkan demi kesejahteraan rakyat.
“Selain pengumuman tekad tambahan tersebut, saya turut menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat, antaranya berkaitan hala tuju ekonomi negeri, peluang pekerjaan bergaji premium, pembangunan pusat data, ketersediaan bekalan air dan tenaga, isu lambakan warga asing serta pelaksanaan projek pembangunan Kerajaan Persekutuan di Johor.
“Dalam sesi penggulungan, saya turut membangkitkan isu penyelenggaraan kemudahan awam, kebersihan, keselamatan rakyat serta mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Saya mahu semua pihak lebih peka dengan keadaan di lapangan dan tidak hanya menunggu sehingga aduan dibangkitkan oleh rakyat untuk mengambil Tindakan,’’ ujar beliau. – UMNO Online
