‘Perpaduan Ummah Bukan Untuk Ketepikan Kaum Lain’

JOHOR BAHRU, 28 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa persefahaman politik yang dibina atas nama Perpaduan Ummah bukan untuk mengenepikan kaum lain.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, setiap negeri mempunyai realiti politiknya tersendiri dan prinsip yang telah disepakati perlu difahami setiap parti komponen.

“Memandangkan saya berada di sini bersama-sama kepimpinan Malaysia Indian Congress (MIC), saya ingin menggunakan ruang ini untuk memberikan penjelasan mengenai hala tuju politik BN supaya dapat disampaikan kepada ahli akar umbi dengan lebih meluas.

“Saya mahu saudara-saudari mendengar sendiri daripada saya prinsip yang telah kita sepakati di peringkat kepimpinan BN. Pengalaman di Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan bahawa setiap negeri mempunyai realiti politiknya sendiri.

“Ada ruang untuk kita bergerak dengan kekuatan sendiri. Ada juga ruang untuk kita membina persefahaman dengan rakan politik yang baharu.

“Dalam kedua-dua keadaan, tanggungjawab saya adalah untuk memastikan BN terus kuat dan mencapai hasrat politik yang kita semua dambakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Malaysia Indian Congress (MIC) di sini, hari ini.

Ujarnya, persefahaman tersebut dibuat untuk membolehkan masyarakat Melayu-Islam mencari titik persamaan di samping menyatukan rakyat Malaysia.

“Di sinilah saya mahu saudara-saudari memahami apa yang saya maksudkan dengan perpaduan ummah. Sebagai Presiden UMNO, saya mahu masyarakat Melayu-Islam mencari titik persamaan dan bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati.

“Namun, sebagai Pengerusi BN, saya mahu usaha itu berjalan seiring dengan amanah kita untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia. Kita perlu menyatukan Malaysia. Kita memerlukan semua pihak. Kita perlukan semua kaum dan usaha menyatukan rakyat ini mesti bermula dalam BN sendiri.

“Dalam kehidupan bermasyarakat, saya selalu menyebut ‘you respect my religion. I respect your religion’. Saya mahu saudara-saudari dapat mengamalkan agama dan beribadat dengan tenteram, sebagaimana saya mahu perkara yang sama untuk umat Islam,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menzahirkan harapan bahawa dengan persefahaman politik baharu tersebut, ia akan menjadikan BN sebagai gabungan yang mampu memimpin rakyat.

“Jika kita mahu rakyat saling menghormati, kita dalam BN mesti menunjukkan teladan tersebut terlebih dahulu.

“Sebab itu saya mahu UMNO kuat. Saya mahu MIC kuat. Saya mahu parti-parti komponen dalam BN kuat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Apabila setiap parti komponen kuat, percayalah kepada saya, apa juga bentuk persefahaman politik yang kita bina nanti, rakyat akan melihat BN sebagai sebuah gabungan yang benar-benar mampu memimpin negara,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Presiden MIC, Tan Sri Dr Vigneswaran, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, Presiden Malaysian Chinese Association (MCA), Datuk Seri Wee Ka Siong, Presiden PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan dan para perwakilan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO