ANGKASA Perkukuh Jaringan Strategik, Martabat Koperasi Di Persada Global – Abdul Fattah
KUALA LUMPUR, 28 Nov – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus memperkukuh koperasi negara di persada antarabangsa menerusi usaha memperluas jaringan strategik dan kerjasama dengan badan koperasi global.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO) berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan sulung Ketua Pengarah International Cooperative Alliance (ICA), Jeroen Douglas ke Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, baru-baru ini.
“Pertemuan strategik itu bukan sekadar mempererat hubungan institusi, malah membuka ruang lebih luas untuk meneroka peluang kerjasama ekonomi, perkongsian kepakaran serta pembangunan gerakan koperasi yang lebih berdaya saing di peringkat serantau dan global.
“Kedudukan strategik beliau (Douglas) dalam kepimpinan koperasi global turut memberi kelebihan kepada Malaysia untuk membawa suara dan perspektif negara dalam perbincangan berkaitan dasar koperasi, perdagangan rentas sempadan serta usaha memperkasakan ekonomi rakyat berasaskan prinsip koperasi.
“Pengukuhan hubungan dengan ICA dan jaringan koperasi antarabangsa perlu dimanfaatkan bagi membuka lebih banyak peluang kepada koperasi Malaysia untuk berkembang, meneroka pasaran baharu serta meningkatkan daya saing di peringkat global,” katanya.
Turut mengiringi kunjungan berkenaan ialah Ahli Lembaga ICA merangkap Ketua Pegawai Eksekutif National Cooperative Business Association CLUSA International, Doug O’Brien; Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Datuk Dr Mohd Nasiruddin Othman serta kepimpinan ANGKASA.
Mengulas lanjut, Abdul Fattah yang juga Timbalan Pengerusi Tetap UMNO menjelaskan, kunjungan berkenaan menjadi platform penting untuk memperkukuh peranan ANGKASA sebagai rakan strategik dalam pembangunan gerakan koperasi dunia.
“Koperasi bukan sekadar wadah penyatuan anggota, sebaliknya berpotensi menjadi pemacu utama pembangunan ekonomi rakyat melalui pengagihan peluang ekonomi yang lebih inklusif, pengurangan jurang sosioekonomi serta pembinaan kekayaan bersama.
“Usaha ini selari dengan aspirasi ANGKASA untuk terus memperkasa koperasi negara sebagai pemain ekonomi yang progresif, berdaya tahan dan mampu memberi sumbangan lebih besar kepada pembangunan negara,” ujarnya. – UMNO Online
