Kejamnya Wakil Rakyat PH, Tolak Usul Kerajaan Bantu Rakyat…

AMAT mudah untuk difahami… Wakil Rakyat Pakatan Harapan tolak usul kerajaan di Parlimen yang nak kelulusan untuk peruntukan kewangan bagi bantu rakyat. Tidakkah mereka kejam… langsung tak fikir keperluan rakyat selain hanya berpolitik dan tahu menolak apa-apa sahaja yang kerajaan lakukan walaupun ia memberi manfaat kepada semua.

Semua pihak tahu bahawa kesan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia bukanlah kecil sebaliknya ia memberi impak yang sangat besar khususnya kepada sosio-ekonomi rakyat sendiri.

Namun, sesuatu yang sememangnya sukar diterima dek akal apabila ahli Parlimen yang sepatutnya membawa suara rakyat menolak keprihatinan kerajaan yang mahu terus memberikan bantuan lantaran sedar akan permasalahan terkini.

Semalam (17 Ogos) wakil rakyat pembangkang meminta Dewan Rakyat menolak Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 atas faktor kewangan negara.

Walhal Rang undang-undang ini bertujuan menguntukkan semula sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan bagi perkhidmatan untuk sebahagian daripada tahun 2020 dan bagi memperuntukkan jumlah wang tersebut untuk maksud-maksud yang tertentu bagi bahagian tahun itu.

Kesemua Ahli Parlimen pembangkang Pakatan Harapan yang hadir dalam persidangan Dewan Rakyat ini telah menolak bantuan kebajikan kepada rakyat bagi menghadapi pandemik COVID-19.

Persoalannya adakah mereka memikirkan keperluan rakyat atau hanya bersikap mementingkan diri demi ideologi politik kepartian sahaja?

Biarpun Rang Undang-undang ini berjaya diluluskan namun Perikatan Nasional gagal untuk mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat yang tentunya perlu dipandang serius terhadap kelangsungan pentadbiran lantaran usaha yang murni untuk rakyat pun pembangkang tidak memberikan sokongan.

Dalam sesi pengundian itu, lima Ahli Parlimen tidak hadir. 106 orang Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan mengundi untuk tidak bersetuju sementara 111 orang Ahli-ahli Parlimen dari UMNO, PAS, PPBM, GPS, MCA, Sabah telah menyokong rang undang-undang tersebut.

Kejamnya Pakatan Harapan…. dengan undian tidak bersetuju untuk meluluskan Rang Undang-undang tersebut, bermakna wakil rakyat Pakatan Harapan tidak mahu kerajaan hari ini memperuntukkan sejumlah wang bagi membantu rakyat Malaysia yang terhimpit akibat daripada penularan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dengan sikap yang ditunjukkan oleh wakil rakyat Pakatan Harapan ini juga menjadi bukti bahawa mereka ini langsung tidak mempedulikan nasib rakyat dan enggan kerajaan hari ini memberi bantuan kepada rakyat.

Malah kerisauan yang ditunjukkan oleh wakil rakyat mereka sebagaimana Guan Eng, Dap atau Pakatan Harapan yang mahukan kerajaan memanjangkan tempoh moratorium bank yang bakal berakhir September ini adalah satu sandiwara dan permainan politik semata-mata.

Sandiwara wakil rakyat Pakatan Harapan ini memang nyata. Lihat saja sebelum ini apabila kerajaan melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), maka dipertikaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kenapa tidak dibentangkan dalam Parlimen terlebih dahulu.

Wal hal ketika itu situasi amat terdesak akibat penularan COVID-19 dan rakyat perlu terus hidup walaupun terpaksa berkurung di rumah tanpa kerja.

Dapat dibayangkan, sekiranya PRIHATIN dan PENJANA ini dibentangkan di Parlimen maka tentunya wakil rakyat Pakatan Harapan juga akan bersikap negatif dan lebih rela ‘berhati kering’ dengan menolak langkah yang dibuat oleh kerajaan.

Jika difikirkan secara logik akal, sepatutnya pembangkang perlu berlapang dada dan memberikan sokongan terhadap usul tersebut lantaran rakyat hari ini amat perit dan memerlukan bantuan.

Namun, dengan sikap wakil rakyat Pakatan Harapan ini, terserlah bahawa mereka bukanlah mengutamakan kebajikan rakyat sebagaimana ‘Negara Berkebajikan’ yang menjadi tema mereka sewaktu mentadbir kerajaan adalah retorik semata-mata.

Ya, sebagaimana 22 bulan sewaktu Pakatan Harapan menjadi kerajaan tapi gagal menjaga keperluan dan kepentingan rakyat, apatah lagi sekarang mereka sebagai pembangkang mahukan usul yang memihak kepada rakyat.

Pakatan Harapan telah buktikan bahawa mereka ‘tidak berhati perut’ menentang usul yang memberi keuntungan kepada rakyat, sedangkan mereka tahu bahawa ramai sekarang yang melarat dan perlukan sokongan kerajaan untuk meneruskan kehidupan.

Duhai rakyat… nilailah sendiri bagaimana kejamnya Pakatan Harapan!

Tinta minda,
Farhana Malek

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.