Memerdekakan Malaysia Dari Wabak COVID-19, Memulihkan Ekonomi Normal Baharu

TANGGAL 31 Ogos bakal menjelma tidak lama lagi menandakan negara ini akan menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-63. Sudah 63 tahun negara ini merdeka dan generasi yang memperjuangkan kemerdekaan pun saya anggarkan hanya tinggal beberapa orang sahaja yang masih hidup.

Pastinya sambutan kemerdekaan pada kali ini sangat berbeza dari tahun-tahun sebelum ini akibat wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Sambutan Kemerdekaan normal baharu tahun ini bukan sekadar mengimbas perjuangan perwira negara melawan musuh dan penjajah, tetapi masa yang tepat menyemai semangat perjuangan kepada rakyat sebagai wira negara bersama frontliners dalam memerangi Covid-19.

Peperangan melawan wabak dan melindungi rakyat dari jangkitan virus merupakan peperangan baharu buat rakyat Malaysia dan seluruh dunia amnya. Bahkan, saya kira sehingga ke hari ini rata-rata rakyat tidak merasai keghairahan untuk menyambut bulan kemerdekaan sebagaimana biasa. Bukan kerana lupa kepada sejarah tetapi kerana semangat #KitaJagaKita.

Pelbagai inisiatif diperkenalkan seperti PRIHATIN, PENJANA, moratorium, subsidi elektrik dan ePenjana RM50 amat membantu meringankan beban kewangan rakyat. Inisiatif-inisiatif ini berjaya menguruskan tekanan hidup rakyat dengan berkesan.

Justeru kita dapat lihat rakyat tetap patuh dengan arahan kerajaan walaupun pelbagai sekatan dikenakan. Negara-negara membangun dan negara maju yang lain berdepan pelbagai rintangan menguatkuasakan undang-undang sekatan pergerakan kerana terdapat protes dan demonstrasi dalam kalangan rakyatnya tanpa ada bantuan bagi meringankan bebanan kewangan yang dirasai.

Bagaimanapun, kerajaan perlu meneruskan usaha mencari formula terbaik dan mengkaji inisiatif-inisiatif baharu bagi memulihkan ekonomi dengan kadar segera bagi mengembalikan keyakinan komuniti peniaga, pemodal serta rakyat keseluruhannya berurusan seperti sedia kala. Kerajaan tentu sedar kesan pasca moratorium.

Dianggarkan seramai 7.7 juta rakyat negara ini menggunakan kemudahan moratorium yang diperkenalkan Kerajaan dan akan tamat pada bulan September ini. Pasca moratorium akan menyaksikan peminjam akan menghadapi kekurangan kecairan tunai seterusnya akan menjejaskan pemulihan ekonomi.

Kesan penggandaan (multiplier effect) ini akan lebih dramatik apabila kumpulan B40 semakin meningkat, peluang pekerjaan terhad dan pertumbuhan ekonomi dijangka merosot sehingga paras di bawah sifar.

Saya menyarankan supaya kerajaan membentangkan ‘Tawaran Baharu’ atau ‘New Deal’ sebagaimana Pakej Prihatin Rakyat dan Penjana supaya hala tuju dan pelan yang lebih komprehensif termasuk langkah-langkah penjimatan untuk tempoh 2 hingga 3 tahun diperkenalkan.

Memandangkan belum ada tanda-tanda wabak Covid-19 akan tamat dalam tempoh 2 hingga 3 tahun ini, perancangan yang teliti, kreatif dan inovatif perlulah diusahakan dengan lebih agresif dengan mengoptimumkan semua tenaga-tenaga pakar, syarikat berteraskan penyelidikan dalam negara selain kerjasama dengan negara-negara luar.

Kerajaan perlu berdisiplin meminimumkan kos dan menghasilkan impak terbaik melalui perkongsian sumber ini.

Selain itu, sebarang dasar dan polisi ekonomi yang bakal dibuat kelak hendaklah juga memiliki sifat ADIL kepada semua pihak, baik kepada komuniti pekerja, majikan, pemilik perniagaan, badan korporat sehinggalah para petani di luar bandar.

Pembahagian kek ekonomi yang saksama atau ‘Equitable Wealth Distribution’ sangat mustahak bagi memastikan tiada pihak rasa dipinggirkan dalam negara ini.

Sepanjang tempoh wabak covid-19 ini melanda seluruh dunia dan di sebalik kita menyaksikan laporan berkaitan penutupan perniagaan, kebankrapan beberapa syarikat gergasi, pembuangan pekerja dan sebagainya, tetapi masih ada beberapa industri yang mengaut untung berlipat kali ganda dari kebiasaan terutama Industri yang berkaitan dengan kesihatan.

Kerajaan perlu menyemak semula dasar-dasar sedia ada supaya tidak menghimpit industri kecil dan sederhana (SME) untuk membina semula perniagaan di tengah-tengah kesan domino keruntuhan ekonomi dunia.

Segala usaha dan perancangan yang dibuat untuk memastikan masa depan rakyat dan negara lebih terjamin, hanya boleh dicapai sekiranya rakyat sendiri berusaha ke arah itu. Allah SWT berfirman “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka (surah Ar-Rad : 11)”.

Meminjam kata-kata sahabat saya, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Pas baru-baru ini di dalam facebooknya “Sukan memanah mengajar kita fokus kepada matlamat yang ingin dicapai dan tidak mudah terganggu dengan anasir luar”.

Maka, Muafakat Nasional dan Kerajaan hendaklah terus fokus membela nasib rakyat dan membantu kerajaan memulihkan ekonomi dengan kadar segera.

#UMNOJagaRakyat

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.