Kes Rasuah Lim Guan Eng: Dap/PH ‘Double Standard’ – Khairy

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin membidas tindakan Dap dan Pakatan Harapan (PH) yang menunjukkan sekali lagi bagaimana sikap ‘double standard’ mereka terhadap perjalanan undang-undang negara.

Bidas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, apabila sesuatu pendakwaan melibatkan mereka, habis dihina sistem kehakiman negara.

“Sedangkan hanya pada minggu lalu, mereka sanjung mahkamah apabila keputusan kes melibatkan pemimpin UMNO sesuai dengan kehendak mereka.

“Dalam tempoh dua tahun yang lalu, ramai pemimpin UMNO dihadapkan ke mahkamah. Ahli-ahli UMNO menghormati proses yang telah dibuat,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di blognya www.khairykj.com.

Khairy berkata demikian mengulas mengenai sikap pembangkang apabila Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menerima rasuah dalam projek terowong ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dan difahamkan akan ada beberapa pertuduhan lain yang akan dihadapkan.

Mengulas lanjut, Khairy berkata dalam tempoh kurang 24 jam yang lalu, telah banyak penghinaan serta herdikan yang dikeluarkan oleh pemimpin Dap dan PH yang menyatakan proses undang-undang yang dihadapi oleh Guan Eng ketika ini adalah suatu bentuk pendakwaan bersifat politik dan tindakan ‘political persecution’.

“Malah dalam saluran media rasmi Dap sendiri telah menyatakan kononnya “tiada sebarang bukti kesalahan dapat dikemukakan” oleh pihak pendakwaan.

“Ini sangat pelik sebab perbicaraan belum lagi bermula, baru di peringkat bacaan dakwaan,” katanya.

Justeru kata Khairy, jika yakin tidak bersalah pihak pembelaan boleh mengemukakan hujah dan bukti di mahkamah.

“Tidak perlu bermain dengan kad simpati dengan menghina proses undang-undang kononnya tidak bebas dan bermotifkan politik,” bidasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.