Falsafah Perjuangan Antara Tun M Dan Tun Razak… PRK Chini Jadi Bukti Kembali Kepada Asas

PEKAN tetap kubu kuat BN.

DUN Chini yang terpaksa melalui suatu pilihan raya kecil untuk menggantikan Allahyarham Datuk Abu Bakar sebagai ADUN telah mengesahkan kekuatan sokongan ini.

Seperti diharapkan, berakhirnya kegelapan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan dan Tun Dr Mahathir berjaya mendorongkan pengundi-pengundi DUN Chini untuk menolak juga calon “proxy” Tun Dr Mahathir.

Calon bebas yang menjadi “proxy” Tun adalah pemimpin tinggi bahagian PPBM Pekan, juga seorang berduit kerana terlibat dalam pembalakan dan pelombongan.
Tapi duit dan pangkat bukan segalanya. Apatah lagi kalau duit dan kedudukan itu hanya milik dan nikmat individu.

Apabila diadakan pungutan suara warga Felda melalui pilihan raya seperti di Cameron Highlands dan Chini, hujahan saya ialah perbezaan ketara di antara falsafah pembangunan rakyat dan negara Allahyarham Tun Abdul Razak dengan falsafah pembangunan Tun Dr Mahathir.

Perbezaannya sungguh ketara.

Allahyarham Tun Abdul Razak mahukan rakyat dan negara membangun secara seimbang diantara setiap lapisan masyarakat dan diantara wilayah, mahupun bandar dan luar bandar. Maknanya, kemewahan itu dirasai di setiap peringkat tanpa pula menafikan kejayaan hasil dari usaha dan rezeki yang berbeza.

Tun Dr Mahathir pula terpesona dengan “limpahan kemewahan” dari kelompok yang kaya kepada golongan bawahan dan dari bandar ke luar bandar.

Perbezaan ini dapat dilihat dari pertandingan di PRK DUN Chini di antara seorang anak peneroka dengan seorang “businessman”. Kedua-dua mendapat munafaat dari falsafah pembangunan Allahyarham Tun Abdul Razak.

Tapi hanya ahli perniagaan itu sahaja yang menepati wawasan dan falsafah Tun Dr Mahathir.

Dan anak peneroka terpaksa berdepan dengan kekuatan ekonomi dan sosial seorang ahli “business” dengan sokongan Tun Dr Mahathir.

Akhirnya, alhamdulillah, wawasan Allahyarham Tun Abdul Razak juga yang mendapat sokongan ramai.

Selain dari Felda, Allahyarham Tun Abdul Razak juga yang mengasaskan muafakat politik yang besar melalui Barisan Nasional. Ia muafakat yang sebenarnya bersifat nasional, merangkumi parti-parti politik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Di PRK Chini, kedua-dua aspek wawasan Allahyarham Tun terbukti mudah diakui olih rakyat dan pengundi.

Pada PRU-14, jumlah undi BN dan PAS di DUN Chini adalah 92.2% dari jumlah pengundi yang keluar mengundi. PKR pula sekadar 5%. 92.2% ini adalah potensi Muafakat Nasional untuk DUN Chini.

Secara keseluruhannya, undi BN dan PAS di kesemua PDM Felda pada PRU-14, kalau dijumlahkan potensi Muafakat Nasional secara pukul rata adalah 89% dari jumlah yang keluar mengundi (BN memperolehi 58% dan PAS 31%).

Di PRK DUN Chini, calon BN memperolehi 91% dari jumlah undi. Calon-calon Bebas dapat hampir 9%. Lebih dari PH (termasuk PPBM) pada PRU14.

Walaupun 1.2% rendah dari potensi sebenar, ianya tetap kejayaan yang besar bagi BN di Pekan dan secara keseluruhannya, terbukti tetap relevan falsafah politik dan ekonomi Allahyarham Tun Abdul Razak.

Bagaimana dan apa Tun Dr Mahathir hendak lakukan pun, 22 tahun dan 22 bulan penguasaan Tun itu tidak mampu memadamkan peninggalan Allahyarham Tun Abdul Razak.

Tahniah Pekan!

#WawasanTunAbdulRazak
#MuafakatNasional

TAN SRI SHAHRIR SAMAD
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru