Calon PM Dan TPM… Kalau Tidak Terperanjat ‘Beruk’, Terperanjat ‘Keralah’ – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Kalau tidak terperanjat ‘beruk’ terperanjat ‘keralah’… itu luahan spontan dan secara sinis Setiausaha Agong UMNO yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengenai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Memetik laporan, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal dicalonkan secara rasmi sebagai Perdana Menteri kesembilan manakala Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula masing-masing sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan 2.

Mengulas lebih lanjut, Ahmad Maslan seterusnya yakin Datuk Seri Anwar tidak akan menerima perkara berkenaan.

“Saya tidak yakin beliau akan menerima dan apabila Parti Amanah Negara (PAN) sendiri mengatakan mereka tidak dirundingi dan sehari dua ini kenyataan Datuk Seri Saifudin Nasution mengatakan bahawa hanya Majlis Presiden (PH) yang boleh menetapkan siapakah calon perdana menteri PH. Kalau tidak berada dalam Majlis Presiden itu bererti cadangan itu adalah hanya cadangan yang tidak boleh diterima oleh mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Program ‘Kabo Chini’ yang disiarkan secara Live menerusi Facebook UMNO-Online. Program tersebut dihoskan oleh Datuk Nor Azizan Abdul Majid.

Dalam perkembangan lain beliau melahirkan kehairanan dengan situasi semasa yang berlaku terhadap Tun Dr Mahathir dan melihat hanya Perdana Menteri ke-7 yang ‘terpecat’ dua kali.

“Saya tidak tahu Tun Mahathir ini parti apa… apabila beliau dipecat dua kali… terpecat dua kali. Pertama beliau duduk di lokasi pembangkang ketika 18 Mei di Dewan Rakyat dan keduanya di dalam perlembagaan PPBM sesiapa yang membawa ke mahkamah apa-apa juga isu dia akan terlucut daripada keahlian.

“Jadi Tun Mahathir ini terpecat dua kali daripada PPBM dan dalam sejarah Malaysia ini orang terpecat sekali sahaja. Saya tidak tahu beliau parti mana jadi saya tidak tahu beliau bercakap dan memberi cadangan itu atas dasar apa dan mungkin syok sendirilah,” tambahnya.

Pada masa yang sama beliau penuh yakin rakyat hari ini tidak lagi mahu kembali ke ‘episod lama’.

“Rakyat tidak mahu orang mengetuai kerajaan 22 bulan dan melakukan macam-macam onar dalam masa 22 bulan itu untuk dilantik sekali lagi menerajui negara sama ada PKR ataupun PAN ataupun PPBM sebelah Mahathir ataupun Dap. Mereka (rakyat) tidak mahu lagi dan cukuplah zaman gelap melalui terowong.

“Bayangkan di hujung terowong jika kita melalui laluan Genting Sempah tidak ada laluan keluar dan itulah sebenarnya yang berlaku semasa 22 bulan pemerintahan PH Dap. Jangan sekali lagi masuk ke dalam terowong begitu,” katanya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.