PETRA Perkasa Perlindungan Pantai, 17 Lokasi Terima Manfaat – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan pendekatan pengurusan pantai secara bersepadu melalui pendekatan bukan struktur dan struktur.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, melalui pendekatan bukan struktur, perancangan berpandukan kajian Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu atau Integrated Shoreline Management Plan (ISMP), yang mengenal pasti kawasan hakisan, tahap risiko serta kawasan yang memerlukan tindakan perlindungan.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan tindakan perlindungan pantai dirancang secara sistematik, berasaskan risiko serta mengambil kira keadaan setempat. Manakala pendekatan struktur pula, PETRA melalui JPS sedang melaksanakan Projek Mengatasi Banjir Pantai di Negeri Sarawak dengan kos keseluruhan RM316 juta.

“Projek ini dilaksanakan secara Reka dan Bina melalui empat (4) pakej melibatkan 17 lokasi di enam bahagian, iaitu Kuching, Samarahan, Betong, Miri, Limbang dan Mukah. Kawasan skim pertanian yang dikenal pasti terjejas akibat hakisan, iaitu Skim Paloh Bangau, Skim Sebako Sedi, Skim Kampung Salah dan Skim Batang Maro.

“Skop utama melibatkan pembinaan struktur perlindungan banjir pantai, kawalan hakisan dan kerja-kerja berkaitan. Apabila siap kelak, projek ini dijangka melindungi kira-kira 32.9 kilometer garis pantai serta mengurangkan risiko kerosakan harta benda dan ancaman kepada keselamatan penduduk,” katanya.

Beliau menjawab persoalan dari ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Ir Yusuf Abd Wahab yang memohon Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan apakah langkah jangka panjang Kementerian berhubung kawalan hakisan pantai di sepanjang garis pantai Sarawak. Hakisan pantai yang tidak diambil tindakan telah banyak merosakkan ban-ban pertanian di tepi laut sehinggakan ratusan ekar tanah pertanian orang kampung dicemari oleh air masin dan tidak sesuai untuk tujuan pertanian lagi.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan mengenai infrastruktur ban dan pengairan pertanian terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“JPS Negeri Sarawak telah mengemukakan permohonan projek bagi Skim Paloh Bangau, Skim Sebako Sedi dan Skim Kampung Salah kepada KPKM untuk pertimbangan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe13).

“Kampung Batang Maro dan Kampung Sebako Sedi pula termasuk dalam kawasan Projek Mengatasi Banjir Pantai di Negeri Sarawak yang kini berada di peringkat pra-pelaksanaan oleh JPS.

“PETRA akan terus menyelaras tindakan perlindungan pantai bersama Kerajaan Negeri Sarawak, KPKM dan agensi berkaitan, termasuk keperluan menangani kerosakan ban pertanian serta risiko kemasukan air masin,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO