PMX Kritik BKJ, Kini Wajibkan Kehadiran Ibu Bapa Terima BAP

JOHOR BAHRU, 26 Nov – Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah, mempersoalkan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung kaedah penyerahan bantuan secara bersemuka susulan ketetapan ibu bapa perlu hadir sendiri ke sekolah bagi menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM200 untuk sesi persekolahan 2027.

Beliau berkata, kaedah penyerahan secara bersemuka itu sebelum ini pernah menjadi kritikan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) oleh Kerajaan Negeri Johor, termasuk Anwar sendiri ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai konsistensi pendirian apabila kaedah sama kini dilaksanakan bagi penyaluran BAP dengan syarat kehadiran ibu bapa.

“Mengapa kaedah bersemuka dikritik apabila dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor, tetapi kini dijadikan syarat yang lebih ketat bagi BAP? Dasar bantuan rakyat wajar dinilai dengan ukuran yang sama, tidak kira siapa yang melaksanakannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Md Israk berkata, Kerajaan Negeri Johor sebelum ini menerima teguran berhubung kaedah agihan BKJ dan melakukan penambahbaikan dengan memberi kelonggaran kepada penerima yang berdepan kekangan untuk hadir.

Katanya, penerima uzur dan orang kurang upaya (OKU) tidak diwajibkan hadir sendiri, sebaliknya wakil dibenarkan mengambil bantuan, manakala penghantaran ke rumah turut disediakan bagi mereka yang tidak berkemampuan hadir.

Beliau turut mengingatkan bahawa cadangan penyaluran bantuan terus ke akaun bank pernah dibangkitkan oleh ADUN Stulang dan ADUN Skudai dalam perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Menurutnya, ADUN Stulang mencadangkan kaedah pemindahan wang ke akaun bank sebagai mekanisme utama, manakala agihan fizikal dilaksanakan bagi kes tertentu.

ADUN Skudai pula mencadangkan gabungan kaedah kredit terus ke akaun bank, penyerahan tunai kepada penerima tanpa akses perbankan serta penyediaan kaunter bergerak bagi mereka yang memerlukan.

“Jika kaedah itu dianggap terbaik untuk penerima BKJ, ia juga wajar dipertimbangkan untuk ibu bapa 5.3 juta murid yang layak menerima BAP,” katanya.
Md Israk berkata, keperluan ibu bapa hadir ke sekolah perlu mengambil kira keadaan dan kekangan berbeza yang dihadapi setiap keluarga.

Katanya, terdapat ibu bapa yang bekerja syif, mencari rezeki sebagai pekerja gig, membesarkan anak secara bersendirian, uzur atau tinggal jauh dari sekolah.

“Anak-anak tidak sepatutnya terlepas bantuan hanya kerana ibu bapa mereka tidak dapat hadir pada hari yang ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan kaedah penyaluran BAP perlu turut mempertimbangkan pilihan pemindahan terus ke akaun bank, selain menyediakan mekanisme alternatif kepada ibu bapa yang tidak dapat hadir secara fizikal.

Beliau berkata, prinsip penyaluran bantuan seharusnya memberi keutamaan kepada kemudahan penerima tanpa mengira kerajaan atau pihak yang melaksanakannya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO