‘Diplomasi Durian’, Teh Tarik Erat Hubungan Menteri Luar Malaysia, Kemboja Dan Thailand

KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menganjurkan majlis makan malam bagi meraikan rakan sejawatnya dari Kemboja, Prak Sokhonn dan Thailand, Sihasak Phuangketkeow, yang berada di Kuala Lumpur malam tadi.

Prak Sokhonn merupakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, manakala Sihasak Phuangketkeow ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri Thailand.

Kedua-dua pemimpin itu berada di Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Pendamaian di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982 antara Kemboja dan Thailand.

Menariknya, majlis makan malam itu turut diserikan dengan pendekatan santai yang digambarkan sebagai “diplomasi durian”, apabila kedua-dua rakan sejawat bersama delegasi masing-masing dijamu dengan durian serta teh tarik.

Menerusi perkongsian Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berharap agar pertemuan itu dapat terus memperkukuh semangat dialog dan diplomasi antara kedua-dua negara.

“Semoga pertemuan ini terus memperkukuh semangat dialog dan diplomasi serta menyumbang kepada usaha mencapai penyelesaian secara aman demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO