Kelas Sesak, Guru Kurang, Pendidikan Sabah Perlukan Penyelesaian – Suhaimi

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, membangkitkan isu kekurangan guru dan kepadatan murid dalam bilik darjah yang disifatkan memberi kesan langsung terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata, meskipun kira-kira 42,000 guru telah ditempatkan di negeri itu setakat Jun 2026, masalah kekurangan tenaga pengajar masih berlaku di beberapa sekolah, terutama bagi mata pelajaran tertentu.

“Saya mengambil maklum bahawa setakat Jun 2026, dianggarkan seramai 42,000 guru telah ditempatkan di Sabah.Namun begitu, masih terdapat sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman yang berhadapan dengan kekurangan guru, khususnya bagi mata pelajaran tertentu.

“Keadaan ini menyebabkan guru terpaksa mengajar di luar bidang kepakaran, sekali gus menjejaskan kualiti bimbingan kepada murid. Berapakah jumlah sebenar kekosongan guru di Sabah setakat 30 Oktober 2026, mengikut daerah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Daripada jumlah kekosongan tersebut, berapakah yang melibatkan opsyen kritikal seperti Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Khas. Apakah langkah intervensi segera daripada pihak kementerian untuk mengatasi isu kepadatan bilik darjah di sekolah luar bandar ini,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan, peringkat jawatankuasa Kementerian Pendidikan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, Suhaimi menggesa KPM meneliti semula kapasiti bilik darjah dan nisbah guru begi memastikan pembelajaran dan kualiti pendidikan terus terpelihara.

“Hal ini akan menjejaskan kualiti pembelajaran kerana kelas yang terlalu padat dan guru pula perlu mengendalikan bilangan murid yang terlalu ramai dalam satu sesi pengajaran,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, kata Ketua UMNO Bahagian Libaran, penggunaan teknologi, platform pembelajaran digital dan kecerdasan buatan (AI) semakin penting dalam meningkatkan kualiti pengajaran, khususnya sekolah di kawasan luar bandar Sabah.

“Bagaimana kita mahu bercakap tentang transformasi pendidikan digital sekiranya masih terdapat sekolah di pedalaman yang berhadapan dengan pelbagai kekangan.

“Apakah garis masa Kementerian untuk memastikan sekolah luar bandar mendapat capaian internet yang stabil, serta kelengkapan alatan pembelajaran seperti komputer, komputer riba, projektor dan peranti pembelajaran digital,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO