Selamat Bertugas Kabinet Malaysia, Diharap Mampu Penuhi Harapan Rakyat

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Dengan segala gabungan kepakaran dari pelbagai sektor dalam kabinet baharu negara diharap mampu membawa Malaysia serta memenuhi harapan rakyat terutamanya soal sara hidup rakyat serta peluang pekerjaan terutamanya golongan orang muda, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Katanya, pengumuman senarai kabinet oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sekaligus menamatkan penantian lebih 2 minggu rakyat Malaysia di atas kekosongan kerajaan Malaysia.

“Kabinet tanpa Timbalan Perdana Menteri dengan diperkukuhkan kehadiran empat Menteri Kanan sebagaimana yang diperkenalkan di Indonesia dan Singapura. Menteri Kanan berperanan sebagai rakan pentadbiran yang membantu Perdana Menteri dan mempengerusikan mesyuarat kabinet dalam keadaan Perdana Menteri di luar negara,” katanya dalam kenyataan berkaitan pelantikan tersebut.

Ujarnya, kabinet Tan Sri Muhyiddin juga menyaksikan kehadiran wajah baru termasuk dari luar politik antaranya pakar bank, mufti, teknokrat dan profesional, di samping Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak juga diwujudkan sebagai satu kementerian baru.

“Dengan penuh keikhlasan dan pasrah kepada Ilahi, Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah mengambil kesempatan mengucapkan Selamat bertugas buat Perdana Menteri serta semua menteri dan timbalan menteri.

“Kami doakan semoga kejayaan akan sentiasa bersama berisan kabinet baru negara. Selamat bertugas,” katanya lagi.

Dilaporkan, semalam Muhyiddin Yassin mengumumkan kabinetnya merangkumi 31 menteri, dan buat pertama kali dalam sejarah tidak menamakan timbalan perdana menteri.

Perdana Menteri sebaliknya mengumumkan pelantikan empat menteri kanan iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; dan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.