Saya Tidak Pernah Mengalah, Maharani Mesti Kembali Milik BN – Ashari
MUAR, 3 Julai – “Saya tidak pernah mengalah,” itulah tekad yang dizahirkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani Datuk Ashari Md Sarip yang percaya kerja kuat, kesetiaan kepada parti dan khidmat berterusan kepada rakyat bakal menjadi kunci untuk merampas semula kerusi tersebut.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Muar itu, kekalahannya pada pilihan raya umum hampir sepuluh tahun yang lalu bukan noktah perjuangan, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus berada di tengah-tengah masyarakat tanpa mengenal musim pilihan raya.

“Saya tidak pernah mengalah. Saya kalah tetapi saya tidak pernah meninggalkan rakyat. Saya terus bekerja dalam parti, diberi amanah sebagai Ketua UMNO Bahagian Muar dan seterusnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN Maharani.
“Kesempatan itu saya gunakan sepenuhnya untuk menjaga kebajikan rakyat serta membawa pembangunan bersama kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan turun padang secara konsisten telah membuahkan hasil apabila semakin ramai rakyat menyatakan sokongan untuk melihat BN kembali mentadbir Maharani.
“Saya sudah nampak suasananya. Semangat akar umbi begitu luar biasa. Jentera BN Muar bekerja dengan penuh komitmen, agresif dan bersungguh-sungguh. Rakyat juga semakin terbuka untuk memberi semula kepercayaan kepada Barisan Nasional,” katanya.
Ashari turut mendedahkan ungkapan yang sering didengarinya ketika bertemu masyarakat iaitu ‘walhasil balik asal’, yang disifatkannya sebagai gambaran jelas bahawa rakyat mahu Maharani kembali ke pangkuan BN.

“Pada mulanya saya sendiri tidak begitu faham maksudnya. Tetapi apabila dijelaskan, ia membawa makna bahawa apa sahaja yang berlaku akhirnya rakyat mahu kembali kepada asal, iaitu Barisan Nasional. Itu yang saya dengar sendiri daripada masyarakat,” ujarnya.
Mengimbau sejarah politik Maharani, Ashari berkata pencalonannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Muar mengingatkan beliau kepada era bekas Ketua UMNO Bahagian Muar Allahyarham Datuk Haji Mohd Ismail Mohd Shah (ketika itu dikenali sebagai Haji Mat) yang pernah menjadi ikon rakyat ketika mewakili kawasan tersebut.
“Ketika itu Haji Mat bukan sekadar seorang wakil rakyat, malah menjadi pemimpin yang cukup dekat di hati masyarakat. Beliau juga Ketua Bahagian ketika bertanding di Maharani.
“Hari ini, sejarah itu seperti berulang kembali. Ketua Bahagian sekali lagi diberi amanah bertanding di Maharani dan saya dapat merasakan semangat yang sama sedang bangkit dalam kalangan akar umbi serta rakyat.
“Insya-Allah, jika kita terus istiqamah bekerja, menyantuni rakyat dan mempertahankan semangat perjuangan, Maharani akan kembali menjadi milik Barisan Nasional,” tegas beliau. – UMNO ONLINE
