Jangan Putar Naratif ‘Angkuh’… BN Pertahan Mandat Rakyat
JOHOR BAHRU, 3 Julai – Pakatan Harapan (PH) Johor disaran agar tidak terus menuduh Barisan Nasional (BN) sebagai angkuh hanya kerana parti itu mempertahankan mandat rakyat dengan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr. Mohd Zaidi Md Zain berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadap BN adalah tidak konsisten memandangkan PH sendiri turut bertanding di semua kerusi yang dipertandingkan.
“Pelik apabila BN bertanding di semua 56 kerusi, mereka kata BN angkuh. Tetapi bila PH sendiri bertanding semua 56 kerusi, mereka panggil itu kestabilan. Ini bukan prinsip, ini hipokrit,” katanya.

Menurut beliau, tindakan PH Johor yang telah awal mengumumkan hasrat untuk bertanding di semua kerusi sebelum pembubaran DUN menunjukkan bahawa parti itu juga sudah bersedia untuk berhadapan secara total di gelanggang politik negeri ini.
“Malah sebelum DUN Johor dibubarkan lagi, PH sudah menyatakan kesediaan untuk bertanding di semua 56 kerusi. Jadi janganlah berpura-pura kononnya membawa muafakat dan kestabilan,” ujarnya.
Tambah beliau, pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen PH iaitu PKR, Dap dan Amanah juga membuktikan mereka benar-benar turun dengan strategi penuh di seluruh negeri.
“Kalau BN bertanding semua kerusi mereka kata angkuh, mengapa PH yang bertanding semua kerusi tidak pula dianggap angkuh?” soalnya.
Dr. Mohd Zaidi turut menegaskan bahawa BN Johor tidak pernah bersikap angkuh, sebaliknya hanya mempertahankan mandat rakyat serta rekod pentadbiran yang telah terbukti.
“BN Johor tidak angkuh. BN hanya mempertahankan mandat rakyat, rekod pentadbiran dan hak Bangsa Johor untuk memilih kerajaan yang stabil serta berpengalaman,” katanya.
Beliau dalam masa sama turut menempelak naratif PH yang menurutnya cuba menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri perlu sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Johor ada mandatnya sendiri. Johor ada kekuatannya sendiri. Rakyat Johor cukup matang untuk menentukan hala tuju negeri ini tanpa dipaksa dengan formula politik mana-mana pihak,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menegur pendekatan politik PH yang didakwa memainkan sentimen tertentu terhadap pengundi.
“Apabila ada pimpinan yang seolah-olah menganggap satu kelompok pengundi sebagai ‘fixed deposit’, itu juga satu bentuk keangkuhan politik yang tidak wajar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar PH berhenti menggunakan slogan ‘tolak keangkuhan’ sebagai naratif politik kerana ia bercanggah dengan tindakan mereka sendiri.
“PH perlu berhenti berselindung di sebalik slogan itu. Hakikatnya mereka sedang meludah ke langit dan jatuh ke muka sendiri,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa BN Johor akan terus fokus kepada usaha mempertahankan mandat rakyat dan menawarkan kestabilan kepada negeri ini.
“Kalau inilah wajah politik yang mahu ditawarkan, rakyat Johor wajar menilai dengan bijak. BN akan terus membawa kestabilan, pengalaman dan rekod pentadbiran yang terbukti,” katanya lagi. – UMNO Online
