Onn Hafiz Pemimpin Berintegriti, Kepimpinan BN Johor Terus Diyakini
MERSING, 3 Julai – Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman menyifatkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebagai pemimpin muda yang berwawasan, berintegriti tinggi dan memiliki keupayaan untuk terus memacu kemajuan negeri.
Katanya, kepimpinan Onn Hafiz sepanjang menerajui pentadbiran Johor telah membuktikan komitmennya dalam merancang serta melaksanakan agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya melihat beliau merupakan seorang pemimpin muda yang berwawasan serta mempunyai integriti yang sangat tinggi. Gagasan yang dibina untuk memajukan Johor juga jelas dan apa yang telah dicapai sepanjang beliau menjadi Menteri Besar membuktikan kemampuan kepimpinannya.
“Sekiranya diberi mandat sekali lagi, tentunya Onn Hafiz akan memastikan segala manifesto dan perancangan pembangunan dapat direalisasikan dengan sebaik-baiknya. Insya-Allah, Johor akan terus melangkah sebagai negeri paling maju di negara ini,” katanya kepada UMNO Online.
Abdul Razif yang juga bekas Menteri Besar Terengganu menjelaskan, perkembangan yang ditunjukkan jentera BN sepanjang tempoh kempen membuktikan sokongan rakyat terus meningkat.
“Melihat kepada momentum yang sedang dibina bersama jentera di semua peringkat, ia jelas menunjukkan satu perkembangan yang amat memberangsangkan.
“Komitmen tinggi yang dipamerkan oleh jentera di semua peringkat perlu dikekalkan sehingga tamat proses pengundian agar momentum kemenangan terus diperkukuhkan,” jelasnya.
Ujarnya, dengan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan, saya percaya ia mampu memberi kelebihan besar kepada perjuangan yang sedang digerakkan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 10 Julai (Jumaat). – UMNO Online
