Wanita UMNO Perkukuh Momentum BN Di Pulai Sebatang
TANJUNG PIAI, 3 Julai – Menjelang fasa kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula esok, Barisan Nasional (BN) terus memperhebat gerak kerja di setiap kawasan bagi memastikan mesej dan tawaran kepada rakyat dapat disampaikan secara menyeluruh.
Pelbagai pimpinan parti terus turun padang menyemarakkan kempen, termasuk Ketua Wanita UMNO merangkap Pengerusi Wanita Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang menyertai siri kempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, hari ini.
Beliau turun bersama calon BN DUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hasan, serta Skuad Sayang Wanita UMNO yang diketuai Komandernya, Hisham Suhaily Othman, bagi mendekati masyarakat setempat menerusi program ziarah dan bertemu pengundi di beberapa lokasi sekitar kawasan berkenaan.
Kehadiran kepimpinan Wanita UMNO bersama jentera Skuad Sayang bukan sahaja menyuntik semangat kepada jentera tempatan, malah memperkukuh usaha BN dalam menyampaikan aspirasi serta tawaran kepada rakyat menjelang hari pengundian.
Dengan berbaki beberapa hari lagi sebelum pengundi membuat pilihan, BN terus komited memperhebat kempen secara bersemuka bagi memastikan setiap lapisan masyarakat memahami komitmen parti untuk meneruskan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat di negeri Johor.
Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen Barisan Nasional untuk terus mendekati rakyat, mendengar denyut nadi masyarakat serta menawarkan kepimpinan yang stabil, berpengalaman dan mampu membawa Johor ke arah masa depan yang lebih maju dan sejahtera.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai 2026 sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-16 manakala 27 Jun 2026 lalu sebagai hari penamaan calon manakala hari mengundi awal bagi PRN DUN Johor akan diadakan pada 7 Julai 2026. – UMNO Online
