BN Dan Masa Depan Malaysia, ‘Brand’ Politik Tersendiri

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Barisan Nasional (BN) terbentuk pada 1973 sebagai alternatif kepada Parti Perikatan. Ia adalah respon politik dampak peristiwa 13 Mei dan merosotnya sokongan terhadap Parti Perikatan dalam pilihanraya 1969.

Parti Perikatan hilang lebih separuh dari undi popular walaupun mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan. DAP, Gerakan dan PAS telah menunjukkan peningkatan sokongan yang ketara.

Bila berakhirnya tempoh darurat pasca peristiwa Mei 13, Parti Perikatan memulakan rundingan untuk membentuk kerjasama politik dengan Gerakan dan PPP. Kedua-duanya menyertai Perikatan pada 1972 dan disusuli oleh PAS. Barisan Nasional didaftarkan pada 1974 sebagai kerjasama politik 9 parti.

Pada Mei 2018, Barisan Nasional tewas untuk pertama kalinya dalam sejarah politik Malaysia. Barisan Nasional ditinggalkan oleh rakan parti komponennya. Lumrah politik begitulah. Tiada kawan setia selamanya dan tiada musuh selamanya juga. Hanya UMNO, MCA dan MIC terus bersetia dengan BN.

Apa yang dialami oleh Parti Perikatan pada 1969 sekali lagi menghantui BN. Bezanya Perikatan masih membentuk Kerajaan. BN pada 2018 pula menjadi pembangkang. Dan DAP menjadi pemenang terbesar pada 2018, sama seperti 1969.

Setelah tewasnya BN, ramai yang merasakan ia sudah tidak lagi relevan. Anggapan sedemikian sangat simplistik. Mungkin ramai yang lupa, BN tidak tewas di Sarawak. Parti komponennya yang meninggalkan ia setelah menang. BN juga menang di Sabah, tetapi pemimpin BN yang terpilih meninggalkan BN.

Setelah hampir dua tahun BN telah berjaya menyesuaikan dirinya sebagai pembangkang. Dan dalam beberapa pilihanraya kecil, BN telah menang dan menunjukkan lonjakan sokongan. Namun itu tidak pula bermakna jenama BN itu telah pulih dan rakyat telah kembali menyokongnya seperti dahulu. Kemenangan BN disumbangkan oleh beberapa faktor.

Pertama ialah kekecewaan rakyat terhadap Pakatan Harapan. Kedua ialah kerana kerjasama strategik BN dan PAS. Ketiga ialah kerana rakyat telah mula boleh membandingkan keupayaan BN mengurus negara dibandingkan dengan PH. Dan terakhir, kerana kemampuan BN yang terus sederhana, menonjolkan calon yang baik dan strategi kempen yang berkesan.

Apa makna semua ini kepada BN? Setelah dua tahun, ternyata BN tidak hilang fokus. BN terus teguh sebagai parti dengan peranan berbeza. Ia terus dengan jenama sederhana dan inklusifnya. Ia tidak kehilangan semua pengaruh dan ‘goodwill’. Malah ia masih dikenang sebagai formula politik yang lebih baik, berjaya dan membuahkan hasil jika dibandingkan dengan PH.

Jika kita merasakan BN itu toksik, maka PH dalam dua tahun, adalah lebih toksik daripada BN. Kerosakan jenama PH itu adalah lebih parah, cepat dan berganda. Jika kita merasakan BN memerlukan jenama baru, PH memerlukan lebih dari jenama dan penampilan baru. Jika BN dikatakan formula lapuk, apa yang PH lakukan, semuanya menggunakan formula yang usang dan digunakan BN sebelum ini.

BN adalah jenama yang sinonim dengan Malaysia dan segala kejayaannya. Benar ada pelbagai kekurangan, tetapi ia tidak dapat mengatasi jasa, sumbangan dan kejayaan BN menciptakan Malaysia yang moden.

Lihat sahaja dalam pilihanraya Kimanis lepas. BN berjaya menepis segala tomahan terhadapnya. Rakyat sesungguhnya rasional. Mereka boleh merasakan pengalaman hidup di bawah BN jauh berbeza dibawah Kerajaan PH dan Warisan. Dan mereka memilih BN walaupun ia pembangkang.

Apa yang dialami oleh BN sekarang, adalah apa yang telah dilalui oleh pelbagai parti besar dunia. LDP, Kongres, Labour, Conservative, Golkar dan pelbagai lagi. Semuanya melalui pengalaman yang tidak linear. Politik sememangnya tidak akan linear. BN memerlukan paradigma baru sesuai pengalaman barunya sebagai pembangkang.

Apa paradigma itu?

Pertama, ialah BN beroperasi dalam konteks Malaysia yang berubah, dipacu oleh ‘disruptive technologies’ dan lanskap politik yang ‘very uncertain’. Ia mesti luwes dan mempunyai keanjalan.

Untuk membolehkan ia anjal dan luwes, ia mesti membuang ‘rigidity’ dalam tatakelola operasinya sebagai parti politik. Malah ‘rigidity’ BN lah yang barangkali menyebabkan ia ditinggalkan begitu sahaja oleh rakan komponennya selepas PRU ke 14.

Kedua, jalan sederhana atau ‘the middle path’ harus kekal menjadi tulang belakang ideologi BN. Rakyat percaya bahawa Malaysia hanya boleh ditadbir dengan aman dan adil menggunakan prinsip kongsi kuasa dan konsensus. BN tidak harus membiarkan ‘the middle path’ ini dirampas pemilikannya oleh pakatan politik yang lain.

Formula baru mesti diterokai. BN++ mungkin hikmah yang BN perlukan. Tidak semua perlu menjadi anggota komponen BN untuk bekerjasama dengan BN. Rakan BN pula, tidak perlulah hanya institusi politik.

Tiada masalah untuk BN bersekutu dengan pergerakan madani, tokoh berpengaruh dan kesatuan sekerja demi permuafakatan politik berkepentingan nasional. Rakan sekutu BN++ bagaimanapun harus menandatangai ‘code of conduct’ bagi membolehkan hubungan pelbagai pihak diuruskan secara berhemah.

Samada BN atau BN ++, Barisan Nasional adalah ‘brand’ politik yang punya keunggulan tersendiri. Membangun sebuah keungggulan politik memakan masa. BN telah melaluinya. Hanya kerana ia tewas sekali, tidak bermakna ia akan tewas selamanya. Dengan strategi yang betul, luwes dan ‘future proof’, BN akan menjadi lebih baik, dinamik dan kontemporari.

Ingat lah “there are many victories worse than a defeat.” BN mesti melakukan apa yang Parti Perikatan lakukan pada 1973. Sejarah pastinya senatiasa berulang dan ia benar-benar berulang pada 2018.

Datuk Seri Mohamad Hasan
Timbalan Presiden UMNO