Kerajaan Sabah Perlu Buru Dan Usir PTI, Bukan Setakat Batal Pelaksanaan PSS

KOTA KINABALU, 25 Jan – Kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan parti Warisan perlu telus dan bertekad untuk memburu Pendatang Tanpa Izin (PTI) dan bukannya setakat untuk membatalkan Pas Sementara Sabah (PSS) semata-mata.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Yakub Khan berkata, sekiranya perkara ini tidak dilakukan segera maka lambakan PTI akan terjadi di Sabah kerana terdapat rekod yang menunjukkan warga China memasuki negara ini termasuk Sabah tetapi tiada rekod menunjukkan mereka sudah keluar dari sini.

“Bukan setakat membatalkan cadangan perlaksanaan PSS malah kerajaan perlu mempergiatkan usaha melalui badan berwajib untuk memburu, menangkap dan mengusir PTI ini dari bumi Sabah.

“PTI bukan hanya tertumpu kepada warga asing Filipina dan Indonesia sahaja tetapi juga PTI dari negara-negara lain yang sewenang-wenangnya menetap tanpa dokumen di Sabah. Kerajaan harus sedar bahawa isu PTI ini sangat meruncing dan hangat diperkatakan oleh rakyat pada ketika ini sehingga menimbulkan ketakutan serta menggusarkan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Yakub, kerajaan negeri Sabah perlu telus memerangi PTI dan jangan hanya mengaburi mata rakyat dengan membatalkan pelaksanaan PSS.

“Pemegang-pemegang IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung itu masih lagi dikatagorikan sebagai PTI dan mereka inilah yang perlu di hantar balik ke negara asal termasuklah PTI yang tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah,” tegas beliau.

Untuk rekod, PRK Kimanis baru lalu merupakan satu titik tolak ke arah pembatalan pelaksanaan PSS apabila Warisan tewas dengan majoriti 2,029 undi kepada BN. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.