Shahrir Samad, Ahmad Maslan Didakwa SPRM… Presiden UMNO Beri Sokongan Moral

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini bagi memberikan sokongan moral kepada Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad dan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang menjalani pendakwaan hari ini.

Dilaporkan Shahrir dan Ahmad menghadapi pendakwaan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shahrir akan menghadapi satu pertuduhan, manakala Ahmad akan dikenakan dua pertuduhan di bawah akta berkenaan.

Oktober lalu, SPRM mengeluarkan notis kompaun terhadap 80 individu dan entiti yang dipercayai menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berikutan itu, seramai 42 pihak yang menerima kompaun daripada SPRM berhubung dengan notis yang diberikan agensi berkenaan termasuklah Shahrir dan Ahmad telah membuat laporan polis bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung beberapa perkara yang berkaitan.

Antara sebab tidak puas hati ialah wang yang diterima daripada presiden parti dan juga perdana menteri pada ketika itu pada tahun 2012 dan 2013, wang yang diterima itu dana politik, dan dalam peraturan serta undang-undang Malaysia dana politik dibenarkan selain nilai yang dikenakan ada yang digandakan dan majoriti digandakan 2.5 kali ganda. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.