Pemuda Sabah Tolak Budaya Politik Taksub Dan Samseng Ganas – Ir Abdul Aziz


KUALA LUMPUR, 21 Jan – Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain menegaskan bahawa golongan muda negeri tu menolak budaya politik taksub dan samseng ganas yang tentunya hanya akan mengamcam keselamatan awam dan menakutkan golongan pelancong untuk datang ke Sabah.

Katanya, beliau merasa kesal kerana terjadinya insiden titik hitam dan serangan yang dikatakan oleh sekumpulan pentaksub Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Afdal kepada Exco Pemuda UMNO yang secara terang-terangan menunjukkan bahawa kumpulan tersebut berani mencabar undang-undang.

“Kami ingin mengingatkan anak-anak muda Sabah terutamanya penyokong-penyokong taksub Shafie Apdal bahawa negeri ini cintakan damai dan menginginkan kehidupan bermasyarakat yang harmonis serta saling menghormati.

“Sedarlah bahawa dunia sedang melihat kita… keganasan serta rusuhan yang berlaku di dalam lapangan terbang sepatutnya tidak berlaku.

“Keganasan yang ditonjolkan oleh pentaksub seolah-olah menakutkan pelancong dan boleh mencipta persepsi negatif bahawa negeri Sabah ini tidak lagi selamat untuk dikunjungi dan akhirnya mereka memilih negeri lain sebagai destinasi pelancongan mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Abdul Aziz menjelaskan bahawa negeri Sabah amat bergantung kepada sektor pelancongan dan perkhidmatan malah ia telah mencatat pulangan sebanyak RM7.7 billion atau 40 peratus daripada jumlah pendapatan negeri.

“Kimanis telah bersuara… mereka mahukan kerajaan yang fokus kepada rakyat dan jangan jadikan rakyat alat permainan politik taksub kepada kerajaan,” tegasnya.

“Pemuda UMNO Sabah menyeru seluruh rakyat Sabah yang cintakan keamanan mengutuk sekeras-kerasnya dan menolak budaya politik taksub ganas.

“Kami menggesa pihak kerajaan segera mengambil tindakan tegas agar budaya politik samseng ganas dan taksub ini tidak berulang lagi,” ujarnya.

Dilaporkan, Ahad lalu Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo cuba diserang sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ketika sedang mendaftar di kaunter. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.