Terima Kasih Kimanis: Roh Perjuangan UMNO Semakin Kukuh – Dr Najmil


KUALA LUMPUR, 20 Jan – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis ini adalah satu manifestasi daripada rakyat.

Katanya, pemimpin-pemimpin UMNO khususnya di Sabah berjaya menaikan semangat dan spiritualisme kepada pengundi-pengundi Kimanis dan juga rakyat Sabah bahawa kerajaan Warisan–Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan yang tidak telus dan menipu rakyat.

“Setinggi tahniah dan syabas kepada Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan saf kepimpinan kerana berjaya membangkitkan roh perjuangan UMNO di Sabah serta berjaya membuktikan kepada PH bahawa UMNO Sabah tidak pernah mati, malah semakin kuat.

“Tahniah juga buat calon BN pada PRK Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, kepimpinan BN, Pemuda UMNO Malaysia yang diketuai Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Pemuda UMNO Sabah, parti komponen dan juga jentera yang banyak membantu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Najmil yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu menjelaskan bahawa BN khasnya UMNO telah berjaya melalui ujian yang getir di PRK Kimanis.

“Apa yang pasti, pengundi menolak kerajaan PH dan memilih BN sebagai simbol kebangkitan rakyat.

“Rakyat kini sedar bahawa tiada parti mampu membela kebajikan rakyat seperti BN di mana rakyat adalah kroni utama kita,” ujarnya.

Beliau juga menyeru di pihak BN janganlah menggangap berasa terlalu selesa dengan kemenangan yang berturut-turut ini.

“Sebagai parti pembangkang yang tidak mempunyai sebarang akses terhadap instrumen kerajaan seperti PH, yang penting memenangi hati rakyat bukannya tugas mudah.

“Kita kekalkan momentum ini untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat. Kita kuatkan parti pembangkang kerana pembangkang yang kuat adalah baik untuk negara.

“Terima kasih Kimanis… Hidup Rakyat! P176 Kimanis,” katanya lagi – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.