Rumah Selangorku: Rakyat Ditipu Kerajaan Negeri, MB Selangor Mesti Bertanggungjawab – TUNTUT


PETALING JAYA, 20 Jan – Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT) merasakan kebimbangan terhadap isu Rumah Selangorku.

Kata Pengerusinya A’zlan Abu Bakar, sejak dari awal lagi TUNTUT telah menyuarakan bahawa Skim Rumah Selangorku sememangnya dilihat seperti memberi tumpuan untuk membantu pemaju perumahan dan bukannya untuk membantu rakyat bagi membeli rumah yang dikatakan murah dan mampu milik.

“Hal ini telah terbukti apabila kerajaan Selangor sendiri tidak mahu bertanggungjawab di atas nasib pembeli Rumah Selangorku seramai 221 orang pembeli rumah di Residensi Jaya, Taman Juara Jaya, Cheras apabila pemajunya BT Dutamas atau Jitu Enigma Sdn Bhd membuat deklarasi bankrap dan projek itu tidak dapat disiapkan.

“Persoalannya, mengapa kerajaan Selangor tidak mahu bertanggungjawab sedangkan projek itu di bawah skim Rumah Selangorku? Adakah akan dibiarkan sahaja nasib pembeli yang mana di kalangan rakyat Selangor sendiri dan di usia muda yang mahukan sebuah rumah untuk membina keluarga mereka kelak?

“TUNTUT gesa Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sendiri memberikan kanyataan rasmi dari pihak kerajaan bagi menyediakan penyelesaian terhadap isu ini dalam masa tujuh hari dari hari ini sebelum lebih ramai lagi rakyat Selangor yang akan tertipu dengan skim Rumah Selangorku ini,” tegasnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ulasnya lagi, kerugian di kalangan pembeli mencecah lebih daripada RM4.5 juta hasil dari bayaran deposit kerana projek yang dijanjikan siap pada tahun depan masih lagi terbengkalai sehingga hari ini.

“Berikutan wakil Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Talha sendiri dimaklumkan seolah-olah kerajaan negeri lepas tangan dengan mendakwa pihaknya hanya sekadar meluluskan projek Rumah Selangorku dan apa yang berlaku antara pemaju dan pembeli ditanggung pembeli.

“Memandangkan sehingga hari ini telah banyak projek perumahan di bawah skim Rumah Selangorku diumumkan oleh kerajaan Selangor sendiri yang bakal dibangunkan oleh pemaju-pemaju, sudah pasti ini akan membuatkan rakyat akan berasa curiga dan waspada akibat dari skim Rumah Selangorku yang akan menipu rakyat Selangor khasnya,” katanya.

Oleh itu tambahnya, MB Selangor seharusnya mengambil tanggungjawab dengan segera bagi memastikan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan menggunakan dasar Skim Rumah Selangorku ini di mana akhirnya dilihat dari awal akan menjerat rakyat menanggung kerugian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.