PRK Kimanis: “Kemenangan ‘Teamwork’ Dan Kesetiaan” – Annuar


KUALA LUMPUR, 20 Jan – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis merupakan satu kemenangan bagi semangat kerjasama berpasukan dan kesetiaan yang tinggi dari semua pihak yang terlibat.

Dalam satu ‘Penghargaan’ di Twitter, Annuar yang juga selaku Pengarah Operasi PRK tersebut amat menghargai segala jenis bentuk sokongan yang diberikan kepada BN.

“Terima kasih atas segala bentuk sokongan, sumbangan moral dan material, tenaga serta doa untuk kemenangan calon BN di PRK Kimanis.

“Kemenangan ini kemenangan bagi ‘teamwork’ dan kesetiaan,” ujar Ahli Parlimen Ketereh itu lagi.

Sabtu lalu, BN melalui calonnya Datuk Mohamad Alamin memenangi PRK tersebut menewaskan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dengan majoriti sebanyak 2,029 undi.

Mohamad atau lebih dikenali dengan masyarakat tempatan sebagai Tok Moh memperolehi 12,706 undi manakala Karim memperolehi 10,677 undi.

Seramai 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir yang berada di luar negara di dalam Parlimen Kimanis di mana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 79.92 peratus.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis tahun lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Ketika PRU-14, BN yang diwakili Anifah menang dengan majoriti 156 undi, di mana lawannya melibatkan Warisan juga diwakili Karim dan calon Harapan Rakyat, Jaafar Ismail. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.