Pemuda UMNO Kutuk Sekeras-kerasnya Budaya Politik Samseng, Ganas

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan individu yang menyerang rombongan beberapa pimpinan dan ahli pergerakan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) malam tadi.

Bidas Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, rakaman video insiden yang kini tular di media sosial jelas menunjukkan provokasi yang turut membabitkan serangan fizikal dilakukan oleh beberapa individu di kaunter pelepasan KKIA yang disaksikan oleh ramai orang awam termasuk pelancong luar negara.

“Pihak Pemuda UMNO menyerahkan tindakan selanjut dan sewajarnya kepada pihak berkuasa agar segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terbabit dengan tindakan jenayah ini.

“Termasuklah kehadiran kelibat tokoh parti kerajaan Datu Akjan Datu Ali Muhammad yang juga penyokong kuat cadangan kerajaan untuk memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS).

“Beliau juga pernah ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana sindiket kad pengenalan palsu selain ditabalkan sebagai Sultan Sulu,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ulas Dr Asyraf lagi, hakikatnya budaya politik samseng ganas selepas selesainya Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kimanis seperti itu tidak sesekali mencerminkan sifat sebenar rakyat Sabah ‘original’ yang terkenal dengan masyarakatnya yang harmonis bahkan tinggi nilai kesantunannya biarpun rencam dengan pelbagai etnik dan agama.

“Situasi ini juga menjustifikasikan senario sebenar mengapa majoriti pengundi di PRK Parlimen Kimanis menolak cadangan PSS yang mampu menggugat kerukunan hidup masyarakat Sabah dengan kebanjiran budaya asing yang ganas seperti ini,” katanya.

Justeru tambahnya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengajak seluruh rakyat Sabah dan Malaysia keseluruhannya mengutuk sekeras-kerasnya budaya politik samseng ganas dan menggesa pihak berkuasa segera mengambil tindakan tegas agar budaya politik samseng ganas yang amat memalukan ini tidak berulang.

“Pemuda UMNO turut ingin merakamkan penghargaan kepada pihak keselamatan KKIA kerana pantas mententeramkan keadaan.

“Pada masa sama juga, Pemuda UMNO mencadangkan agar kerajaan Sabah segera melakukan penambahbaikan terhadap sistem kawalan keselamatan terutamanya di tempat awam seperti lapangan terbang agar keselamatan orang awam dan pelancong terpelihara,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.