Janji Buku Harapan Mansuh Tol, PH Tipu Di Siang Hari Lanjutkan Konsesi – Hasni

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Ir Hasni Mohammad membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terus melakukan penipuan di siang hari.

Katanya dalam satu hantaran di Facebook, sebagaimana Janji 6 di dalam Buku Harapan, PH telah berjanji untuk menghapuskan kutipan tol namun apa yang rakyat dapat adalah tempoh konsesi tol dilanjutkan sehingga tahun 2058.

“Ini merupakan satu lagi penipuan di siang hari. Tidak terperanjatlah, kerana PH berpendirian bahawa manifesto itu bukan kitab suci. Maka tiada kewajipan untuk mereka tunaikan janji manifesto mereka.

“Kerajaan kata, harga tol akan menurun. Tetapi sebenarnya, rakyat dipaksa membayar tol sehingga tahun 2058. Kerajaan kata, kerajaan bakal mendapat penjimatan sebanyak RM42 bilion dalam bentuk pampasan kepada Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Tetapi sebenarnya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional melalui UEM Group Berhad adalah pemegang saham utama PLUS. KWSP memegang saham pada 49% dan Khazanah pada 51%.

“Jika kerajaan membayar pampasan sebegitu banyak pun, ianya akan terus pergi kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), rakyat serta pencarum KWSP juga akhirnya. Bukan entiti swasta lain,” tegasnya lagi.

Ulas lanjut, Hasni turut membidas Pengerusi Dap Johor, Liew Chin Tong yang telah mengeluarkan kenyataan di dalam Facebooknya.

“Liew Chin Tong berhujah, kenapa kerajaan bertindak mengurangkan harga tol dan bukan menghapuskan tol. Tengok sahaja di ruangan komen beliau. Jelas, rakyat amat rasa marah dan tertipu. Seakan dirompak di tengah hari, kata mereka.

“Ada juga yang berpendapat, kerajaan boleh memberi diskaun lebih banyak daripada 18% tanpa melanjutkan konsesi PLUS sehingga tambahan 20 tahun lamanya,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu.

Bahkan katanya, Liew Chin Tong kemudian seakan menyalahkan pengundi kerana telah memberi harapan yang terlalu tinggi kepada PH.

“Beliau mengatakan tidak semua masalah boleh diselesaikan serta-merta selepas kerajaan bertukar.

“Mungkin beliau lupa. Bukan rakyat yang menaruh harapan yang terlalu tinggi kepada kerajaan. Tetapi mereka sudah mempercayai kerajaan yang salah mentadbir negara,” tempelaknya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.