Terima Kasih Kimanis, Gelombang Kebangkitan Anak Muda Berintegriti – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menganggap kemenangan BN di PRK Kimanis adalahgelombang kebangkitan anak muda di Semenanjung yang terus bersinar dan memugar di bumi Sabah dengan barisan kepimpinan UMNO-BN yang baharu dan muda berintegriti.

Katanya, di kala ramai kepimpinan meninggalkan bahtera perjuangan, anak muda inilah yang tetap setia mempertahankan wadah.

“Hari ini Allah membalasnya dengan sebuah kemenangan! Tiada kata yang mampu diluahkan melainkan kalimah tahmid alhamdulillah atas inayah Allah yang memberikan kemenangan kepada BN di PRK Parlimen Kimanis dengan majoriti besar 2029!

“Sesungguhnya kemenangan ini bukan untuk menjadikan kita angkuh dan sombong, sebaliknya raikanlah kemenangan ini dengan penuh rasa keinsafan betapa wadah perjuangan ini hakikatnya milik rakyat. Rakyat mendambakan kita untuk kembali mengambil amanah dengan penuh kerendahan hati dan terus melakukan koreksi diri,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman facebooknya.

Dalam masa yang sama, beliau mewakili kepimpinan pemuda UMNO-BN mengucapkan terima kasih setulusnya kepada pengundi-pengundi kimanis terutamanya anak-anak muda atas kemenangan ini.

“Saya juga ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada seluruh jentera UMNO-BN Sabah, MCA, jentera PAS, jentera bekas-bekas Parti Komponen PBS, PBRS, STAR dan yang teristimewa buat sahabat-sahabat pemuda UMNO Sabah.”

Semalam, BN mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis pada PRK kawasan itu semalam dengan calonnya Datuk Mohamad Alamin, 48, menang dengan majoriti 2,029 undi selepas memperoleh 12,706 undi, manakala pencabarnya Datuk Karim Bujang, 67, daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) meraih 10,677 undi.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas. – UMNO ONLINE