PRK Kimanis: Apapun Alasan Tun M Tak Penting, UMNO Terus Fokus Bela Rakyat


KUALA LUMPUR, 19 Jan – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menekankan biar apapun alasan yang diberikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) ekoran kekalahan Warisan di Kimanis ianya tidak penting bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana katanya, bagi UMNO yang penting kemenangan ini mesti disusuli dengan meningkatkan lagi kekuatan parti disemua peringkat.

“Malah kemenangan di Kimanis dan di Tanjung Piai, Rantau, Cameron Highland dan Semenyih sebelum ini adalah isyarat rakyat mahukan UMNO/BN, dan Muafakat Nasional terus berusaha membela mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, jelasnya, semua pimpinan disemua peringkat mesti terus fokus.
“Matlamat utama kita ialah kembali menjadi kerajaan. Kita mesti bersama untuk terus meletakkan parti kita dihati rakyat.

“Yakinlah, jika kita membela rakyat percayalah rakyat akan menyokong dan bersama dengan kita,” katanya yang turut berterima kasih kepada warga Kimanis.

Terdahulu, susulan kemenangan BN dalam PRK Kimanis, Dr Mahathir berkata kekalahan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada PRK itu berlaku kerana rakyat di negeri itu belum merasai kebaikan pemerintahan baharu di bawah PH. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.