Kemenangan PRK Kimanis, Isyarat Positif Di Peringkat Nasional – Presiden PAS


KUALA LUMPUR, 19 Jan – PAS mengucapkan tahniah atas kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di PRK Kimanis, dan menyifatkan keputusan ini sebagai isyarat positif terhadap agenda Muafakat Nasional yang semakin diterima rakyat.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kemenangan dalam PRK di Sabah ini menunjukkan agenda penyatuan ummah dan perpaduan nasional yang dibawa oleh Muafakat Nasional semakin diterima rakyat bermasyarakat majmuk, dan mula merentasi Sabah dan Sarawak.

“Malah kekalahan berterusan PH dalam PRK ini menjadi isyarat penolakan rakyat terhadap budaya politik ekstrem dan fitnah melampau, di samping kegagalan PH menunaikan janji dan membela kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan terhadap kemenangan BN di PRK Kimanis semalam.

Ujarnya, PAS merakamkan setinggi penghargaan kepada para ahli dan petugas PAS yang membantu dalam kempen PRK ini dengan penuh kepatuhan, dan juga menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari ini.

“Kepada YB Datuk Mohamad Alamin, marilah kita bersama membela kebajikan rakyat, mengangkat martabat Islam dan mengukuhkan agenda muafakat dengan sebaiknya di Parlimen,” katanya lagi.

BN) mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis pada PRK kawasan itu semalam dengan calonnya Datuk Mohamad Alamin, 48, menang dengan majoriti 2,029 undi selepas memperoleh 12,706 undi, manakala pencabarnya Datuk Karim Bujang, 67, daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) meraih 10,677 undi.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.