Kemenangan Kimanis Kerana Jasa Semua Pihak – Mohamad Alamin

KIMANIS, 19 Jan – Calon Barisan Nasional (BN) yang baru dinobatkan sebagai Ahli Parlimen Kimanis Mohamad Alamin berkata, kejayaannya ini bukanlah atas sifat peribadi tetapi ia adalah kemenangan semua pihak yang telah bertungkus-lumus bekerja.

Jelas beliau, kemenangan itu juga sebenarnya datang daripada kematangan pengundi-pengundi Kimanis sendiri.

“Kejayaan ini adalah kejayaan bersama, bukanlah kejayaan saya secara peribadi semata-mata. Ia menampakkan kedewasaan rakyat dalam membuat keputusan pada hari ini dengan pelbagai isu yang menghantui rakyat dan kita terjemahkan dalam pilihan raya kali ini,” katanya pada sidang media malam tadi.

Selain itu Mohamad juga melahirkan rasa terima kasih kepada bekas Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman yang turut berkempen membantu kemenangan BN.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kepada bekas Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman yang turut membantu BN.

“Kepada lawan saya, Datuk Karim Bujang, saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana telah menampakkan kematangan berpolitik, kita sering bersemuka dan terserempak,” ujar beliau.

Ditanya tentang perkara pertama akan dilakukan beliau selaku wakil rakyat baharu di Kimanis, Mohamad melihat isu yang sering menghantui rakyat menjadi keutamaannya.

“Insya-Allah saya akan turun ke bawah bersama rakyat Kimanis kita akan mencari isu-isu dan saya akan cuba menyuarakan isu-isu yang sering menghantui rakyat Sabah dan Kimanis hari ini.

“Inilah perjuangan dan keutamaan saya. Saya ingin menampakkan bahawa rakyat sangat tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan pada hari ini,” katanya lagi. – UMNO ONLINE