Airmata Rai Kemenangan Kimanis, Terima Kasih Pengundi – Abdul Rahman

KIMANIS, 19 Jan – “Ya saya dan Bung menangis,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dalam satu hantaran di Facebook.

Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran serta Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menitis air mata kegembiraan di atas kemenangan Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

“Selama 19 bulan UMNO Sabah dilanda musibah demi musibah. UMNO Sabah hampir hancur. Setiap hari kami nazak.

“Kami kehilangan 16 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), 6 MP (Ahli Parlimen), 2 Senator dan 22 ketua bahagian dengan kepimpinan lain.

“Tidak ada yang berani memberikan kami peluang. Tidak ada yang percayakan kami,” ujarnya lagi.

Di dalam PRK Kimanis, wakil BN Datuk Mohamad Alamin memperolehi 12,706 undi manakala calon Warisan-Pakatan Harapan Datuk Karim Bujang memperolehi 10,677 undi, dengan majoriti sebanyak 2,029 undi.

Disebabkan itu tambahnya lagi, kejayaan BN di Kimanis begitu manis sekali.

“Kami akan bina UMNO Sabah dari bawah dengan kepimpinan yang lebih faham erti sebuah perjuangan.

“Allahuakbar! Terima kasih pengundi Kimanis,” katanya. – UMNO ONLINE