PSS Dibenarkan ke Semenanjung: ‘Best Of Luck To Malaysia’ – Tok Mat


KIMANIS, 17 Jan – ‘Best Of Luck To Malaysia’… ujar Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan sekiranya benar kerajaan mahu membenarkan pemegang Pas Sementara Sabah (PSS) ke Semenanjung.

Jelas beliau, keputusan kerajaan ini merupakan satu malapetaka kepada negara.

“Apa kena mengena PSS dengan Semenanjung? Ini adalah kerajaan negeri Sabah, imegresen negeri Sabah, perjanjian Malaysia 1963, imegresen di bawah kuasa Sabah tetapi untuk mereka nak masuk ke Semenanjung menggunakan PSS, itu satu perkara yang perlu difikirkan sedalam-dalamnya oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Orang Semenanjung sebagai warganegara sendiri pun perlu keluar dari Sabah selepas tiga bulan tetapi PSS boleh sambung sampai bila-bila. Kajian mendalam perlu dilakukan, nanti nak pusing balik susah,” ujar Mohamad kepada media selepas berkempen di PDM Pimping sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, malam tadi.

Untuk rekod, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamaan mengeluarkan kenyataan bahawa pemegang PSS dibenarkan ke Semenanjung Malaysia tidak lebih sebulan jika mendapat kebenaran.

Mengulas mengenai harapan BN di PRK Kimanis ini Mohamad yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Mat berkata, beliau yakin BN mempunyai peluang untuk menang.

“Saya yakin BN akan menang tapi jentera mesti terus bekerja kuat sehingga saat akhir, keluarkan seramai mungkin dan pujuk mereka untuk memberi kepercayaan kepada BN.

“Kalau ini kita buat, saya yakin BN akan menang,” ujar beliau.

PRK Kimanis diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut, sekaligus menjadikan ia PRK ke-10 selepas PRU-14.

Anifah memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail menerima 1,300 undi.

Kerusi P176 Parlimen Kimanis merangkumi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Membakut dan Bongawan.

PRK Kimanis ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon BN Datuk Mohamad Alamin dan calon Warisan Datuk Karim Bujang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.