PRK Kimanis: Undilah BN, Hak Pengundi Pilih Wakil Rakyat


KIMANIS, 17 Jan – Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, para pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis jangan sesekali berasa takut untuk memilih siapa yang mereka mahu untuk menjadi wakil rakyat mereka.

Jelas beliau, hak mengundi adalah hak individu dan tidak ada siapa yang boleh mengugut termasuk pihak kerajaan pusat mahupun negeri.

“Jangan sesiapa rasa takut untuk memilih kerana itu hak anda. Tidak ada siapa boleh mengungut dan menentukan siapa yang perlu kita pilih dan pastikan kad pengenalan simpan untuk dibawa waktu mengundi. Jangan serahkan kepada orang lain.

“Saya juga tahu telah banyak imbuhan dan ‘bom atom’ turun. Ambil, itu hak rakyat. Jangan anggap itu sebagai terhutang budi kepada kerajaan kerana kerajaan telah banyak memotong hak rakyat,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Selain itu Ismail turut membidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sekali lagi dilihat gagal sebagai satu badan bebas dan berkecuali.

“Saya kesal dengan SPR kerana semenjak dari PRK pertama dilaksanakan di bawah pentadbiran PH, pelbagai laporan telah dibuat namun tidak ada tindakan yang dilakukan.

“Di Kimanis ini, selesai sahaja penamaan, Warisan telah melanggar Akta Pilihan Raya dan terus melanggar namun dibiarkan oleh SPR.

“Sebab itu juga Warisan berani bertindak agresif. Jadi saya harap pengundi tidak terpengaruh dengan fitnah yang disebarkan oleh Warisan,” ujar beliau.

Bercakap soal gerak kerja BN di Kimanis ini, Ismail melahirkan rasa yakin dengan kekuatan BN kerana sejak dulu lagi BN tidak pernah tewas di Parlimen Kimanis.

“Sejak dari awal saya memang sentiasa yakin dengan kekuatan BN sebab Parlimen Kimanis milik BN dan calon BN tidak pernah kalah di sini dari dulu malah Sabah ini juga BN yang punya. Hanya kerana ada yang lompat maka kita tewas tetapi bukan tewas daripada undi rakyat.

“Saya yakin dengan gerak kerja yang ditunjukkan oleh semua pihak dan respon daripada pengundi yang rata-rata mengatakan akan menyokong BN maka saya yakin BN mampu menang di sini,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.