PRK Kimanis: Banyak Pelanggaran Dilakukan PH-Warisan, SPR Pejam Mata – Dr Shamsul Anuar


KIMANIS, 17 Jan – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mempertikai kredebiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang semakin hari semakin rosak semenjak pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, banyak pelanggaran yang dilakukan oleh kerajaan namun SPR seolah-olah hanya memejam mata di atas kesalahan kerajaan PH sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis berlangsung.

“Ini jauh berbeza dengan pembangkang yang mempunyai kredebiliti dan mematuhi perlembagaan negara. Ini cukup berbeda…. Sepatutnya yang mematuhi undang-undang adalah kerajaan tetapi nampaknya kerajaan tidak mematuhi peraturan. Yang kita pegang adalah peraturan, pihak pembangkang menjunjung perlembagaan, ini bezanya parti pembangkang dengan kerajaan hari ini.

“Kita akan tetap menjadi pembangkang yang kredibel, yang mematuhi peraturan kerana akhirnya rakyat yang akan menilai. Pada saat ini nampak jelas kerajaan tidak mematuhi peraturan… melaksanakan program-program sama ada peringkat parti mahupun agensi-agensi kerajaan.

“Saya menggesa SPR, PDRM atau agensi-agensi lain haruslah meletakan undang-undang di atas. Ambillah tindakan kepada sesiapa yang melakukan kesalahan kerana tindakan ini dinilai oleh pelbagai pihak termasuklah agensi-agensi di peringkat antarabangsa.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata demikian dalam Diskusi PRK P176 Kimanis, anjuran Penerangan UMNO Malaysia, malam tadi.

Tambahnya, sewajarnya kerajaan harus memperkukuhkan kedudukan SPR agar dipandang tinggi oleh rakyat.

“SPR mesti menjadi satu institusi yang bebas dan kalau SPR tidak lagi dipercayai maka ia sukar untuk berfungsi. Ini sangat penting kerana banyak negara luar yang mengamalkan demokrasi telah rosak kerana institusi ini tidak mengikut peraturan.

“SPR tidak konsisten dan inilah salahnya apabila kerajaan melantik orang politik mengendalikan institusi yang cukup penting. Saya bimbang perjalanan pilihan raya tidak berjalan dengan baik,” bidasnya lagi.

Ujarnya, apabila melantik orang politik di institusi ini maka terjadilah seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sekarang ini semakin bercelaru.

“Ini adalah tidak baik dalam amalan demokrasi negara ini dan akan memberi kesan kepada negara.

“Kalau Barisan Nasional (BN) buat salah hukumlah BN … kalau Warisan buat salah, hukumlah Warisan. Laksanakan berlandaskan undang-undang jika tidak laksanakan, percayalah sistem demokrasi negara ini akan rosak dan tidak berfungsi dengan baik. Ini sangat penting,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.