Gabungan Kuasa Rakyat Anjur Himpunan 22 Feb, Negara Semakin Rosak Di Bawah PH


KUALA LUMPUR, 17 Jan – Setelah 20 bulan mentadbir, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) jelas dan nyata bukan sahaja telah gagal dari pelbagai aspek malah enggan mengambil peduli kepentingan rakyat marhaen, kata Gabungan Kuasa Rakyat.

Ujarnya dalam satu kenyataan, di bulan pertama dekad ini sahaja pelbagai berita buruk telah disajikan kepada rakyat.

“Ini termasuk boikot oleh India terhadap minyak sawit keluaran Malaysia kerana kegagalan Malaysia dalam menjaga hubungan diplomasi.

“Jika dinilai dengan teliti, atas sebab prestasi kerajaan pimpinan PH yang berserabut dan tiada hala tuju ini, Gabungan Kuasa Rakyat sangat yakin bahawa dekad ini akan menjadi dekad terburuk buat Malaysia dan rakyatnya,” bidasnya.

Oleh itu tambahnya, pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan para aktivis telah bersama-sama mewujudkan Gabungan Kuasa Rakyat untuk menghentikan kerosakan yang dibawa oleh kegagalan kerajaan pimpinan PH.

Gabungan tersebut diseliakan dan dipermudahkan oleh Pertubuhan Sahabat Erat Dan Amanat Rakyat (SEDAR) Malaysia, BeNAR Malaysia, SolMar Malaysia, Optimum Malaysia, Denyut Nadi Rakyat, Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat (KADER) dan aktivis-aktivis yang memperjuangkan rakyat.

“Hampir 15% dari mereka yang bersama-sama Gabungan Kuasa Rakyat pernah berjuang di pihak PH.

“Untuk menghentikan kerosakan yang sedang berleluasa kepada negara ini, Gabungan Kuasa Rakyat akan menganjurkan Himpunan 220220 di hadapan Sogo pada 22.02.20 bermula dari 2 petang hingga 5 petang,” katanya.

Jelas Gabungan Kuasa Rakyat lagi, satu sesi ‘Town Hall’ telah dianjurkan pada 11 Jan lalu untuk mengenalpasti tuntutan yang akan dibawa ke Himpunan 220220.

“Lebih daripada 100 aktivis telah memberikan input dan Tuntutan Himpunan 220220.

“Untuk maklumat lanjut layari sila www.gabungankuasarakyat.org atau Facebook @gabungankuasarakyat. Untuk pertanyaan media sila hubungi Aidil di 017-6018469,” ujarnya.

Berikut merupakan tuntutan yang dikemukakan.

GABUNGAN KUASA RAKYAT mengemukakan 10 tuntutan berikut terhadap kerajaan bersempena Himpunan 220220.

10 Tuntutan ini berdasarkan kegagalan pentadbiran kerajaan pimpinan PH.

Kerajaan pimpinan PH harus memenuhi 10 tuntutan ini dalam tempoh 100 hari bermula dari Himpunan 220220.

Sekiranya gagal memenuhi 10 tuntutan ini, GABUNGAN KUASA RAKYAT mendesak agar Parlimen DIBUBARKAN SERTA-MERTA supaya rakyat boleh memilih kerajaan baharu yang lebih layak memegang mandat:

1. Bertanggungjawab terhadap KEGAGALAN MEMIMPIN DAN MENTADBIR NEGARA.
a. Perdana Menteri dan Kabinet Malaysia wajib meletakkan jawatan.
b. Barisan kepimpinan yang baharu harus bebas daripada sebarang skandal, baik dari segi kewangan mahupun moral seperti seks, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

2. Bertanggungjawab ke atas KEDAULATAN UNDANG-UNDANG DAN MARUAH INSTITUSI YANG TERCEMAR.
a. Ketua Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Pengerusi SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia) dan Peguam Negara yang cenderung mengundang persepsi negatif pada masa ini wajib meletakkan jawatan.
b. Institusi-institusi seperti SPRM, SPR serta Jabatan Peguam Negara wajib bebas daripada pengaruh politik dan bukannya dijadikan senjata politik mana-mana pihak.
c. Cadangan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengerusi SPR dan Peguam Negara wajib melalui sesi pemilihan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang dianggotai oleh gabungan ahli-ahli Parlimen Pembangkang dan kerajaan.
d. KBDYMM Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak dalam menolak atau menerima cadangan pelantikan tersebut. Perdana Menteri tidak dibenarkan untuk campur tangan dalam pemilihan ketiga-tiga jawatan tersebut.

3. Menangani KRISIS EKONOMI DAN KEWANGAN NEGARA yang semakin merudum disebabkan keculasan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan

4. Menyelesaikan ISU BERKENAAN RAJA-RAJA MELAYU SERTA POLEMIK ANTARA AGAMA DAN KAUM yang KIAN meruncing di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

5. Menyelesaikan isu KOS SARA HIDUP YANG MELAMBUNG di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

6. Menyelesaikan isu KEBAJIKAN RAKYAT yang terabai di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

7. Memulakan PELAN TINDAKAN REALISTIK UNTUK ORANG MUDA / BELIA dengan kadar SEGERA.

8. Mengagihkan PERUNTUKAN KEWANGAN SETARA UNTUK SEMUA AHLI PARLIMEN DAN ADUN samada ahli terdiri daripada pihak pembangkang, kerajaan mahupun bebas.

9. Menunaikan MANIFESTO PRU14 DAN MENGGUBAL UNDANG-UNDANG KHAS UNTUK MEWAJIBKAN MANIFESTO DITUNAIKAN.

10. Memulihkan HUBUNGAN DIPLOMATIK ANTARABANGSA yang terjejas teruk di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan. – UMNO ONLINE