Tuduh BN Wujudkan PSS ‘Blame Game’ Warisan-PH Kelirukan Rakyat – Zahid


KIMANIS, 16 Jan – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tuduhan yang mengatakan Barisan Nasional (BN) yang mewujudkan Pas Sementara Sabah (PSS) adalah tidak benar sama sekali.

Jelas beliau, tuduhan tersebut adalah ‘blame game’ yang dimainkan oleh Parti Warisan-Pakatan Harapan (PH) semata-mata untuk mengelirukan rakyat khususnya pengundi di Kimanis.

“Semasa zaman BN, tidak ada satupun cadangan untuk wujudkan PSS. Tuduhan BN yang wujudkan PSS adalah tidak benar dn harus ditolak.

“Kesilapan yang dilakukan (oleh Warisan) harus diakui sebagai satu kesilapan dan harga yang perlu dibayar adalah pada 18 Januari ini apabila pengundi Kimanis terpaksa menolak PH Warisan kerana penipuan ini,” ujar beliau ketika berucap dalam program himpunan muafakat rakyat Sabah malam tadi.

Tambah bekas Menteri Dalam Negeri itu, tidak ada satupun laporan atau minit yang dicatatkan dalam mesyuarat kabinet semasa pentadbiran BN mengenai PSS.

“Kabinet BN tidak pernah meluluskan PSS. Keutamaan BN ketika itu adalah memberi keutamaan peluang pendidikan, peluang kesihatan dan peluang perniagaan untuk anak Sabah dan penduduk asal Sabah,” tegas Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Lebih kurang lima ribu orang telah hadir ke program tersebut bagi mendengar amanat-amanat yang disampaikan oleh para penceramah.

Program himpunan ini telah menghimpunkan blok pembangkang dan parti-parti pro BN.

Untuk rekod, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa PSS adalah kesinambungan cadangan yang dicetuskan pada zaman kerajaaan BN sebelum ditambah baik serta dilaksanakan oleh PH.

Kata Muhyiddin, ketika zaman BN, cadangan dibuat bagi memperkenalkan Pas Residen Sementara Sabah (PRSS). Ia telah dicadangkan BN dalam mesyuarat jawatankuasa pada 2015.

Namun begitu Muhyiddin juga menjelaskan bahawa BN tidak memutuskan berkaitan pengenalan PRSS tetapi memberi perhatian ketika itu dan sudah ada cadangan untuk melaksanakannya namun ia terbantut apabila BN tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

PSS ialah dokumen baru Jabatan Imigresen yang dikeluarkan terhadap pendatang asing tanpa izin, bagi menggantikan dokumen sedia ada iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.