Sudahlah Tidak Cekap Mentadbir, Kerajaan Tidak Diyakini Negara Luar – Dr Shamsul


KIMANIS, 16 Jan – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah melihat kerajaan hari ini bukan sahaja tidak cekap mentadbir malah tidak lagi diyakini oleh pelbagai pihak termasuklah kalangan pelabur luar yang menyebabkan rakyat menjadi mangsa.

Menurut beliau, mengambil contoh pelaburan terbaru negara UAE yang kini membuat pelaburan di Indonesia melibatkan RM94 bilion merupakan satu petunjuk jelas kepada keadaan tersebut.

“Kerajaan Warisan hari ini berkawan dengan parti yang ditolak oleh rakyat Semenanjung sekarang dan juga kerajaan yang tidak cekap mentadbir. Dulu UAE menjadi negara yang banyak melakukan pelaburan di negara kita. Hari ini di Indonesia… baru sahaja minggu lepas Presidennya Jokowi menandatangani 11 perjanjian yang melibatkan RM94 bilion pelaburan daripada UAE ke Indonesia. Dibuat di Kalimantan.

“Dulu negara mana yang menjadi pilihan UAE… negara kita Malaysia. Dilabur di Pengerang dan hari ini negara kita bukan lagi menjadi pilihan sebab apa… sebab pemimpinnya tidak lagi diyakini. Orang tidak yakin kepimpinan bermasalah. Proses peralihan kuasa menjadi isu dan apabila menjadi isu kesannya adalah kepada rakyat,” katanya ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kg Brunei, di sini, Rabu malam.

Tambah Dr Shamsul Anuar, pinjaman daripada negara Jepun menyebabkan kerajaan hari ini memberikan signal yang salah kepada negara luar.

“Negara ini tidak diyakini oleh pelbagai pihak. Tengok PM pergi ke banyak negara satu pelaburan pun tidak ada dibawa masuk. Yang ada pinjam bon samurai di Jepun. Bila pinjam bon dia bagi signal yang salah kepada negara luar sedangkan negara kita ialah negara yang memang cukup hebat dan apabila PM mengambil bon daripada negara Jepun, orang dah lihat negara kita bermasalah.

“Nilai ringgit kita jatuh dan ekonomi kita merundum. Inilah rupa pemimpin yang menjadi teman kepada parti Warisan. Sebab itu kalau kerajaan di pusat bermasalah dan wang tidak ada, sudah tentulah pembangunan sukar dibuat dalam negeri Sabah. Tengok Pan Borneo apa sudah jadi. Sebab masalah kewangan. Orang tidak yakin,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan para pengundi di Kimanis agar tidak bimbang untuk mengundi calon BN, Datuk Mohamad Alamin Sabtu ini.

“Tidak ada pilihan kita, undi BN. Jangan takut dan bimbang untuk undi Datuk Mohamad Alamin. Infrastruktur, bantuan kebajikan, baiki rumah dan sebagainya bukannya duit parti Warisan dan itu bukan duit kerajaan Pakatan Harapan.

“Itu duit rakyat… duit kita dan mereka diberikan amanah oleh rakyat menjadi kerajaan untuk mentadbir duit kita. Sebab itu kita berhak dapat. Hak kita dan hak pengundi manakala kerajaan tidak boleh menentukan pengundi wajib undi siapa atau undi kerajaan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.